KATHMANDU (Nepal): Sebuah pesawat penumpang terhempas ketika berlepas di Kathmandu pada 24 Julai, dengan juruterbangnya diselamatkan daripada serpihan yang terbakar.
Namun, kesemua 18 yang lain di dalam pesawat tersebut terbunuh, kata polis di ibu negara Nepal itu kepada agensi berita, AFP.
Nepal mempunyai rekod prestasi keselamatan penerbangan yang menyedihkan.
Republik Himalaya itu telah menyaksikan banyak kemalangan maut melibatkan pesawat ringan dan helikopter dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Penerbangan Saurya Airlines itu membawa dua anak kapal dan 17 kakitangan syarikat tersebut untuk penerbangan ujian, kata jurucakap polis Nepal, Encik Dan Bahadur Karki.
“Juruterbang telah diselamatkan dan sedang dirawat.”
“(Sebanyak) 18 mayat telah ditemui termasuk seorang warga asing. Kami dalam proses membawa (mayat) mereka untuk bedah siasat,” tambahnya.
Penerbangan itu dijalankan sama ada untuk tujuan teknikal atau penyelenggaraan, kata Encik Gyanendra Bhul, daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, tanpa memberikan butiran lanjut.
Encik Bahadur dan Encik Bhul tidak dapat mengesahkan kewarganegaraan satu-satunya warga asing yang maut itu.
Imej susulan yang dikongsi oleh tentera Nepal menunjukkan fiuslaj pesawat itu terbelah dan rentung.
Sekitar sedozen askar berdiri di atas serpihan itu, dengan sekitarannya disaluti kimia kalis api.
Dalam satu kenyataan, pihak tentera berkata, pesawat itu terhempas sekitar 11.15 pagi waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Singapura).
Beliau menambah pasukan tindak balas pantas tentera telah memberi bantuan seiring usaha menyelamat.
Portal berita, Khabarhub, melaporkan bahawa pesawat itu terbakar selepas terbabas di landasan.
Pesawat itu dijadual terbang di laluan udara paling sibuk Nepal di antara Kathmandu dengan Pokhara – hab pelancongan penting di republik Himalaya itu.
Menurut laman webnya, Saurya Airlines secara eksklusif menerbangkan jet Bombardier CRJ 200.
Industri udara Nepal telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, membawa barangan dan pengembara ke kawasan yang sukar.
Tetapi ia dibelenggu isu keselamatan yang lemah kerana latihan dan penyelenggaraan yang tidak mencukupi, diburukkan lagi oleh geografi berbahaya kawasan pergunungan itu.
Kesatuan Eropah (EU) telah melarang semua syarikat penerbangan Nepal dari ruang udaranya atas sebab keselamatan.
Negara Himalaya itu mempunyai beberapa landasan paling sukar di dunia, sekalipun bagi juruterbang berpengalaman.
Nahas penerbangan komersial besar terakhir Nepal adalah pada Januari 2023, apabila pesawat Yeti Airlines, terhempas semasa mendarat di Pokhara, mengorbankan kesemua 72 orang di dalamnya. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg