PUTRAJAYA: Rakaman suara 30 minit dalam komponen ‘memory puck’ pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lalu, berjaya diekstrak di makmal di Florida, Amerika Syarikat pada Isnin.
Mengumumkan demikian, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata hasil daripada ekstrak itu, Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) berhasil mendapatkan rakaman suara yang jelas serta berada dalam keadaan baik.
“Mengenai nahas pesawat di Elmina, dibantu jurutera di sana (Florida) membantu mendapatkan data, dan hasilnya data itu berjaya diekstrak daripada ‘memory puck’.
“Jadi, semua rakaman suara dalam pesawat terutama 30 minit terakhir sebelum sehingga nahas itu berlaku, berjaya dimuat turun,” katanya pada sidang media pada Selasa.
Dalam tragedi itu, seramai 10 maut termasuk lapan orang yang berada dalam pesawat malang itu, seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal – kedua-duanya dirempuh pesawat yang jatuh berhampiran perbandaran Elmina di Shah Alam.
Hanya satu mayat daripada nahas itu ditemui dalam keadaan utuh, yang merupakan mayat penunggang motosikal yang maut itu.
Sejurus kejadian, Encik Loke berkata beliau sudah mengarahkan BSKU agar segera menjalankan siasatan dengan terperinci.
Pesawat itu dikendalikan syarikat Jet Valet, perkhidmatan penerbangan persendirian eksklusif, dan telah berlepas dari Langkawi, dalam perjalanan ke lapangan terbang Subang, kurang 10 kilometer dari lokasi nahas.
Pesawat itu sedang bersedia untuk mendarat dan telah diberi pelepasan oleh kawalan trafik udara, namun kemudian terputus hubungan dengan menara kawalan dua minit sebelum pendaratan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg