Topik diikuti
Pergi ke BHkuPetani Indonesia percepat penanaman padi hadapi ancaman El Nino
Petani Indonesia percepat penanaman padi hadapi ancaman El Nino
Petani Indonesia percepat penanaman padi hadapi ancaman El Nino
CIREBON (Indonesia): Di bawah langit pagi yang diselubungi jerebu, petani padi Indonesia, Encik Teguh Basuki, sedang berlumba dengan masa untuk mempercepat jadual penanaman padinya di Jawa Barat ketika negara itu bersiap menghadapi musim kemarau panjang yang dijangka bertambah buruk akibat fenomena El Nino.
Petani berusia 51 tahun itu berkata beliau terpaksa menyesuaikan cara kerja bagi memastikan hasil tanaman keluarganya tidak terjejas.
“Bertani adalah tentang menyesuaikan diri dan mencari penyelesaian. Saya harap usaha ini berhasil,” katanya kepada Reuters ketika bekerja di sawahnya di Cirebon.
Di tengah sawah yang membentuk petak hijau dan keemasan, Encik Teguh berusaha memastikan keluarganya yang terdiri daripada tujuh orang terus mempunyai sumber pendapatan.
Ketika cuaca kering mula menjejaskan jadual penanaman di beberapa negara Asia, Encik Teguh menjadi antara ribuan petani Indonesia yang diminta pemerintah mengubah rutin pertanian mereka demi mengelakkan gangguan terhadap bekalan makanan.
Fenomena El Nino yang dijangka menjadi lebih kuat daripada biasa pada 2026 dibimbangi membawa kesan besar kepada Indonesia, negara kepulauan yang bergantung kepada kestabilan cuaca untuk pengeluaran beras.
Bagi jutaan rakyat Indonesia, beras merupakan makanan ruji utama.
Di kawasan seperti Cirebon, musim penanaman dan penuaian selama ini banyak bergantung kepada kitaran cuaca yang stabil.
Namun menurut Encik Teguh, corak cuaca kini semakin sukar diramal akibat perubahan iklim dan cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.
“Kami hidup daripada pertanian, jadi kami perlu menyesuaikan diri,” katanya.
Beliau berkata ancaman El Nino tidak akan mematahkan semangatnya walaupun fenomena itu dijangka menjadi antara yang paling kuat pernah direkodkan.
El Nino biasanya membawa cuaca panas dan kering ke Asia manakala hujan lebat melanda benua Amerika.
Bagaimanapun, perubahan iklim global menyebabkan kesannya terhadap sektor pertanian menjadi lebih buruk.
Musim kemarau di Indonesia biasanya berlangsung dari Mei hingga Ogos, tetapi agensi cuaca negara itu meramalkan musim kering pada 2026 akan berpanjangan.
Keadaan itu meningkatkan kebimbangan terhadap pengeluaran beras nasional.
Menteri Pertanian Indonesia, Encik Amran Sulaiman, sudah menggesa pemerintah wilayah memastikan sistem pengairan di kawasan berisiko dipertingkat selain mempercepatkan penanaman padi di kawasan yang masih mempunyai bekalan air mencukupi.
Pemerintah juga menggalakkan penggunaan benih padi tahan kemarau bagi mengurangkan risiko kerosakan tanaman.
Dalam pembentangan kementerian, pemerintah mencadangkan petani memulakan semula penanaman hanya dua minggu selepas musim menuai, berbanding tempoh biasa sekitar 25 hari untuk menyediakan tanah.
Pegawai kementerian, Encik Muhammad Agung Sunusi, berkata kerjasama pemerintah daerah amat penting bagi memastikan bekalan makanan negara terus stabil.
“Kami meminta gabenor, datuk bandar, bupati dan semua pihak membantu mengoptimumkan rangkaian pengairan serta mempercepat penanaman di sawah padi,” katanya dalam satu mesyuarat pada 8 Jun.
Data agensi cuaca Indonesia menunjukkan banyak kawasan di Pulau Jawa dan beberapa pulau lain tidak menerima hujan selama lebih 10 hari.
Ramalan bagi Jun pula menunjukkan tahap hujan dijangka sederhana hingga rendah.
Keadaan itu mula memberi kesan kepada kawasan penanaman padi.
Biro Statistik Indonesia menganggarkan pengeluaran beras negara bagi tempoh Januari hingga Julai akan menurun sebanyak 0.35 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Seorang lagi petani di Cirebon, Cik Misti, 62 tahun, memilih pendekatan berbeza bagi menghadapi cuaca panas melampau.
Beliau berkata mungkin tidak akan menanam padi untuk musim ketiga tahun ini dan mempertimbangkan tanaman lain seperti kacang hijau walaupun keuntungannya lebih rendah.
“Cuaca terlalu panas dan petani bimbang tanaman padi tidak dapat bertahan hingga musim menuai,” katanya.
Menurutnya, ramai petani kini berada dalam dilema kerana kos pertanian semakin meningkat sedangkan cuaca tidak lagi menentu.
Situasi itu turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan makanan di Indonesia sekiranya kemarau berpanjangan terus menjejaskan pengeluaran beras.
Bagi petani seperti Encik Teguh, setiap keputusan yang dibuat ketika ini amat penting untuk menentukan sama ada hasil tanaman mereka mampu bertahan menghadapi musim kering yang dijangka semakin mencabar.
Walaupun berdepan ketidakpastian cuaca, beliau tetap berharap pengalaman dan kemampuan menyesuaikan diri dapat membantu petani terus bertahan.
“Kami tiada pilihan selain terus berusaha,” katanya sambil meneruskan kerja di sawahnya. – Agensi berita.
