Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘PH-BN ada peluang rampas Kedah, Terengganu, Kelantan’

Jul 24, 2023 | 6:28 PM
JENTERA UMNO:Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga dari kanan) dan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias (dua dari kanan) menghadiri perjumpaan dengan jentera pilihan raya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
JENTERA UMNO:Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga dari kanan) dan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias (dua dari kanan) menghadiri perjumpaan dengan jentera pilihan raya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Cabaran yang bakal ditempuh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak boleh dipandang ringan semua pihak, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Pengerusi BN itu berkata meskipun yakin negeri yang dikuasai PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan itu mampu terus dipertahankan menerusi kerjasama BN pada PRN kali ini, dinamika politik hari ini menuntut semua pihak berkerja keras untuk mencipta kemenangan.

Mengambil analogi perlawanan bola sepak yang menampilkan strategi berbeza bagi perlawanan yang berlainan, Datuk Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno berkata perkara sama juga berlaku dalam politik yang memerlukan pendekatan berbeza.

“Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) corak dan strateginya lain dan dalam PRN kali ini juga perlukan satu pendekatan lain, tidak boleh sama; maka cabaran yang kita akan hadapi juga lain. Di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, tiada masalah untuk kita pertahankan. 

“Walaupun kita mempunyai peluang untuk merampas Kelantan, Terengganu dan Kedah, kita perlu bekerja lebih kuat untuk cuba merampasnya... paling tidak sekurang-kurangnya menambah bilangan kerusi kita di negeri-negeri itu,” katanya yang ditukil New Straits Times (NST). 

Datuk Mohamad yang juga Menteri Pertahanan mahu semua pihak berkempen secara matang serta mengelakkan daripada politik dan kempen tidak sihat sepanjang PRN berlangsung.

“Kalau dalam kempen pun kita dah buka habis semua pekung, dikhuatiri pihak-pihak di luar negara yang berhasrat untuk melabur di negara kita berasa bimbang untuk melabur. Dengan adanya pelaburan, sudah tentu ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Datuk Mohamad yang telah dinamakan sebagai calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan, berkata biarpun telah lama mewakili kawasan berkenaan, ia bukan tiket untuknya berasa selesa.

“Setiap kali pilihan raya pasti cabarannya berlainan. Saya tak boleh mengambil ringan dan tetap perlu bekerja kuat untuk memastikan kemenangan,” katanya.

Beliau yang juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan telah mewakili DUN Rantau selama empat penggal sejak 2004.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di keenam-enam negeri itu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg