BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand pada 1 Julai telah menggantung tugas Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra sementara menunggu keputusan kes pemecatannya, sekali gus menambah tekanan terhadap kerajaan yang kini bergelut di pelbagai penjuru.
Dalam kenyataan rasmi, mahkamah memaklumkan ia telah menerima petisyen daripada 36 senator yang mendakwa Cik Paetongtarn melanggar kewibawaan dan etika seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Dakwaan itu berpunca daripada kebocoran rakaman perbualan telefon antara beliau dengan mantan pemimpin berpengaruh Kemboja, Encik Hun Sen, yang bersifat sensitif daripada sudut politik.
Sementara kes tersebut dibicarakan, kerajaan akan dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri sebagai pemangku.
Cik Paetongtarn bagaimanapun masih kekal dalam Kabinet sebagai Menteri Kebudayaan yang baru selepas rombakan terkini.
Beliau memberitahu pemberita di Wisma Kerajaan Bangkok bahawa beliau menerima keputusan itu.
“Niat saya sentiasa untuk melakukan yang terbaik untuk negara. Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Thailand yang berasa kecewa dengan perkembangan ini,” katanya.
Rakaman perbualan telefon dengan Encik Hun Sen yang berlaku pada 15 Jun, yang bertujuan meredakan ketegangan di sempadan, telah mencetuskan kemarahan rakyat Thailand.
Dalam panggilan itu, Cik Paetongtarn, dilaporkan tunduk kepada mantan Perdana Menteri Kemboja itu dan mengkritik seorang komander tentera Thailand.
Tindakan itu dianggap melampaui batas dalam konteks politik negara yang amat dipengaruhi pihak tentera.
Cik Paetongtarn, 38 tahun, kemudian memohon maaf dan menyifatkan panggilan itu merupakan sebahagian taktik rundingan.
Namun, kontroversi itu telah menyebabkan gabungan kerajaan yang dipimpinnya kini tinggal majoriti tipis, selepas sebuah parti utama menarik diri dan dijangka mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen.
Beberapa kumpulan penunjuk perasaan terus mendesak beliau agar meletak jawatan.
Keadaan itu mencerminkan kelemahan ketara Parti Pheu Thai yang dipimpin keluarga Shinawatra, yang selama lebih dua dekad menguasai pilihan raya Thailand sejak 2001 meskipun berdepan rampasan kuasa tentera dan keputusan mahkamah yang menjatuhkan beberapa Perdana Menteri.
Sebagai seorang yang tidak berpengalaman dalam politik, pelantikan Cik Paetongtarn sebagai Perdana Menteri wanita termuda Thailand bagi menggantikan, Encik Srettha Thavisin, yang digugurkan kerana melantik seorang menteri yang pernah dipenjara telah menjadi ujian getir buat dirinya.
Kini, selepas hanya 10 bulan memegang jawatan tertinggi itu, populariti Cik Paetongtarn kian merudum.
Satu tinjauan pendapat yang dijalankan antara 19 dengan 25 Jun menunjukkan tahap sokongannya menjunam kepada 9.2 peratus berbanding 30.9 peratus pada Mac.
Cabaran Cik Paetongtarn turut diburukkan lagi oleh masalah yang dihadapi bapanya, Encik Thaksin Shinawatra, mantan Perdana Menteri dan figura utama di sebalik kerajaannya.
Pada 1 Julai, Encik Thaksin hadir di Mahkamah Jenayah Bangkok bagi menghadapi pertuduhan menghina institusi diraja, satu kesalahan serius yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.
Peguam beliau memaklumkan Encik Thaksin menafikan dakwaan tersebut dan tetap menyatakan kesetiaannya kepada raja.
Kes itu berpunca daripada satu wawancara media yang diberikan oleh Encik Thaksin pada 2015 semasa dalam buangan sendiri di luar negara.
Beliau pulang ke Thailand pada 2023 selepas 15 tahun bagi menjalani hukuman penjara atas kesalahan salah guna kuasa dan konflik kepentingan.
Namun, Encik Thaksin, 75 tahun, tidak menjalani hukuman di penjara, sebaliknya ditempatkan di hospital selama enam bulan atas alasan kesihatan sebelum dibebaskan secara parol pada Februari 2024.
Mahkamah Agung dijadual meneliti semula kelayakan tempoh rawatan hospital itu pada Julai, yang berkemungkinan menyebabkan beliau dihantar semula ke penjara. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg