MEULABOH (Indonesia): Anggota penyelamat Indonesia berkata mereka telah menamatkan pencarian pelarian Rohingya yang hilang di laut selepas bot mereka terbalik. Ini walaupun terdapat laporan daripada beberapa mangsa yang terselamat bahawa berpuluh-puluh lagi telah dihanyutkan.
“Pencarian tamat pada Khamis (21 Mac). Semua pelarian Rohingya di atas bot semalam (20 Mac) telah diselamatkan,” kata Encik Muhammad Fathur Rachman, jurucakap agensi mencari dan menyelamat tempatan di Aceh, Beliau berkata pencarian telah ditamatkan kerana tiada senarai penumpang.
Pihak berkuasa Indonesia menyelamatkan sekurang-kurangnya 69 pelarian Rohingya pada 20 Mac dengan membawa mereka ke pantai selepas bot mereka karam.
Bot kayu kumpulan pelarian itu dan sebuah lagi bot yang cuba membantu mereka berdua terbalik dengan mangsa yang terselamat menganggarkan kira-kira 150 Rohingya berada di dalamnya dengan puluhan hanyut. Seorang daripada mangsa yang terselamat berkata, berpuluh-puluh pelarian dihanyutkan arus dan hilang atau dikhuatiri lemas.
Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam berdepan penganiayaan di Myanmar dan ribuan mereka mempertaruhkan nyawa setiap tahun melakukan perjalanan laut yang panjang dan mahal, kebiasaannya menaiki bot kecil untuk sampai ke Malaysia atau Indonesia.
Sejak pertengahan November hingga akhir Januari, 1,752 pelarian, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mendarat di wilayah Aceh dan Sumatera Utara di Indonesia, menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR).
Agensi itu berkata ia adalah kemasukan terbesar ke negara majoriti Islam itu sejak 2015. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg