Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pihak keselamatan Myanmar terus tembak penunjuk perasaan: Saksi

Mar 16, 2021 | 05:30 AM



YANGON: Pasukan keselamatan Myanmar terus menembak penunjuk perasaan prodemokrasi semalam, kata beberapa saksi, sehari selepas puluhan penunjuk perasaan terbunuh, dan sekumpulan penyerang membakar beberapa kilang yang dibiayai China di bandar utama Yangon.



Penyokong pemimpin demokrasi, Canselor Negara Aung San Suu Kyi yang diguling dan kini ditahan tentera, terus berarak, termasuk di Mandalay dan bandar Myingyan, tempat polis melepaskan tembakan, kata dua saksi.



"Mereka (pihak keselamatan) menembak kami," kata seorang penunjuk perasaan berusia 18 tahun di Myingyan. "Seorang gadis ditembak di kepala dan seorang budak lelaki ditembak di muka."



Penunjuk perasaan membantah di jalan-jalan tanpa mempeduli penggunaan kekerasan semakin meningkat oleh pihak berkuasa, dengan puluhan orang maut kelmarin - hari paling berdarah sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari.



Serangan pembakaran kelmarin mendorong komen paling tegas China terhadap kekacauan yang melanda negara jirannya di Asia Tenggara itu, yang ramai penduduknya melihat China sebagai menyokong rampasan kuasa tersebut.



Kedutaan Besar China mengatakan banyak kakitangan warga China cedera dan terperangkap dalam serangan itu, dan mendesak jeneral junta Myanmar menghentikan keganasan dan memastikan keselamatan orang ramai dan harta benda.



Akhbar Global Times China melaporkan 32 kilang yang dilabur pihak China "dirosakkan dalam serangan ganas" yang menyebabkan kerosakan berjumlah AS$37 juta ($50 juta), selain dua pekerja China cedera.



Pertumpahan darah terburuk kelmarin berlaku di pinggir bandar Yangon di Hlaingthaya, tempat pasukan keselamatan membunuh sekurang-kurangnya 37 penunjuk perasaan selepas serangan pembakaran ke atas kilang milik China, kata seorang doktor, yang enggan dikenali.



Seramai 16 orang terbunuh di tempat lain, kata kumpulan Persatuan Tahanan Politik (AAPP), dan seorang anggota polis. Media melaporkan undang-undang tentera dikenakan di Hlaingthaya dan beberapa daerah lain di Yangon, dan di beberapa bahagian kota Mandalay.



Angka kematian terbaru menjadikan korban tunjuk perasaan berjumlah sekitar 140 orang, berdasarkan kiraan AAPP dan laporan terbaru. Jurucakap junta tidak menjawab panggilan meminta ulasan.



Bagi menyekat berita pergolakan itu, penyedia perkhidmatan telekomunikasi di situ diarah menyekat semua data mudah alih di seluruh negara, kata dua sumber yang tahu mengenai perkara itu. Dalam satu kenyataan, Telecom Telenor mengatakan "Internet mudah alih tidak tersedia".



Cik Suu Kyi dijadual hadir di mahkamah semalam bagi menghadapi perbicaraan mahkamah maya, namun peguamnya, Encik Khin Maung Zaw, berkata sesi itu tidak dapat diteruskan kerana Internet tergendala. Perbicaraan ditunda ke 24 Mac.



Tentera mendakwa ia merampas kuasa kerana penipuan dalam pilihan raya 8 November, yang dimenangi parti Cik Suu Kyi. Junta berjanji akan mengadakan pilihan raya baru, tetapi belum menetapkan tarikhnya. - Reuters, AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >