KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengadakan pilihan raya enam negeri secara serentak pada 12 Ogos, menurut pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu.
Pengundian awal bagi anggota keselamatan seperti tentera dan polis akan diadakan pada 8 Ogos. Hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai, bagi membolehkan kempen-kempen pilihan raya diadakan selama 14 hari.
Sejumlah 245 kerusi dewan undangan akan dipertandingkan di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Dewan undangan negeri-negeri berkenaan dibubarkan bermula 22 Jun hingga 1 Julai.
Pengerusi SPR, Encik Abdul Ghani Salleh, berkata pada Rabu bahawa lebih 9.7 juta orang layak mengundi di enam negeri yang mengadakan pilihan raya itu secara serentak.
Beliau juga berkata bahawa permohonan bagi pengundian dari luar negeri melalui pos, yang telah dibuka sejak 15 Jun, akan ditutup Sabtu ini. Permohonan bagi pengundian melalui pos dalam negeri akan ditutup pada 26 Julai.
Para penganalisis percaya bahawa pilihan raya negeri ini akan menjadi kayu ukur terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana perikatan Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya, bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang dulunya pesaing utama PH.
Datuk Anwar berkata beliau yakin bahawa PH akan dapat mengekalkan kuasa di negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, dan cuba menawan dua negeri yang dikuasai Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau tidak pula menyebutkan negeri mana yang dimaksudkannya itu.
Timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Rafizi Ramli, turut menzahirkan keyakinan bahawa PH, yang diterajui PKR akan kekal berkuasa di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Beliau menarik perhatian bahawa paras kepuasan yang tinggi di kalangan para pengundi dapat dilihat di ketiga-tiga negeri itu. Daripada enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya itu, Negeri Sembilan paling di hadapan dengan 75 peratus penerimaan terhadap PH.
Bagaimanapun, perikatan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) mendakwa mereka telah membuat banyak kemajuan di negeri-negeri yang dikuasai PH iaitu Selangor dan Pulau Pinang.
Isu-isu kehidupan seharian akan menjadi tumpuan utama semasa berkempen, sedang Malaysia dicengkam inflasi, walaupun sudah mula membaik, sekitar 2.8 peratus pada Mei, kadar paling rendah sejak Mei 2022.
Kos perniagaan meningkat, memandangkan nilai ringgit lemah berbanding beberapa matawang asing sejak awal 2023. Pada Rabu, ringgit dibuka pada paras RM4.651 berbanding satu dolar Amerika Syarikat.
Pada Isnin, polis berkata tindakan akan diambil terhadap parti-parti politik yang menyentuh isu-isu kaum, agama dan kesultanan, semasa berkempen.
Sambil menegaskan bahawa pegawai-pegawai polis akan memantau aktiviti kempen, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, mengingatkan parti-parti politik supaya mematuhi peraturan dan undang-undang, terutama yang berkaitan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Hasutan. –The Straits Times.
Laporan lanjut di Muka 9.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg