Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan raya daerah jadi medan saingan parti politik Indo

Jun 17, 2024 | 5:30 AM
Indonesia
Perang bendera pilihan raya sedang rakyat Indonesia bersiap untuk Pemilihan Umum Kepala Daerah atau singkatannya Pilkada bagi rakyat memilih Ketua Daerah di kawasan masing-masing. - Foto fail

Pilihan raya daerah Indonesia atau Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada melibatkan sembilan provinsi, 37 kota dan 224 kabupaten (daerah pentadbiran).

Sebanyak 100.3 juta pengundi layak memilih dalam Pilkada 2020, bagi memilih gabenor, wali kota dan bupati masing-masing.

Ia melibatkan provinsi Sumatra Barat, Jambi, Bengkulu, Kepulauan Riau, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Kalimantan Utara, Sulawesi Utara dan Sulawesi Tengah.

Sementara bagi pemilihan wali kota, tumpuan adalah kepada anak Presiden Encik Joko Widodo iaitu Encik Gibran Rakabuming Raka dan menantu Jokowi, Encik Bobby Nasution yang masing-masing bertanding untuk calon walikota Solo dan wali kota Medan.

JAKARTA: Selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Presiden 2024, Indonesia kini sedang mempersiapkan satu lagi persaingan politik dalam Pemilihan Umum Kepala Daerah atau singkatannya Pilkada yang yang dijadualkan diadakan secara serentak pada 27 November.

Pilkada diadakan di seluruh Indonesia untuk memilih pemimpin wilayah, bandar dan daerah di kawasan masing-masing untuk mengisi jawatan 37 Gabenor, 451 Datuk Bandar atau Bupati dan 93 jawatan Wali Kota dipertandingkan.

Parti utama kini dilaporkan telah mula menamakan dan melakar strategi meletakkan calon masing-masing sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) menutup pendaftaran calon pada 19 Ogos.

Anak Presiden Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, Encik Kaesang Pangarep, yang mengetuai Parti Solidariti Indonesia (PSI) menjadi tumpuan sama ada beliau akan bertanding dalam pemilihan Wali Kota di Surakarta atau Gabenor di Jakarta.

Jika ini berlaku, Encik Kaesang akan mengikut jejak abangnya, Encik Gibran Rakabuming Raka dan bapanya, Encik Jokowi, yang menggunakan jawatan Wali Kota Surakarta sebagai batu loncatan untuk jawatan lebih tinggi.

Encik Jokowi memenangi jawatan Gabenor Jakarta pada 2012 dan jawatan presiden pada 2014, manakala Encik Gibran memenangi kerusi naib presiden dalam Pilihan Raya Presiden pada Februari 2024.

Encik Kaesang, yang akan mencecah usia 30 tahun pada Disember 2024 berpeluang bertanding jawatan Gabenor Jakarta hanya selepas Mahkamah Agung membatalkan peruntukan dalam peraturan KPU yang mengehadkan pemilihan gabenor kepada calon yang berumur 30 tahun ke atas apabila badan pengundian mengesahkan pendaftaran mereka.

Mahkamah Agung Indonesia telah meluluskan perubahan peraturan mengenai umur calon dalam pilihan raya daerah pada 30 Mei.

Satu petisyen difailkan di mahkamah pada April, menggesa peraturan itu diubah supaya calon boleh berumur 30 tahun apabila mereka dilantik, bukannya pada tarikh KPU mula mengesahkan penyertaan mereka dalam pilihan raya.

Mahkamah mengubah syarat umur, membenarkan calon yang berumur 30 tahun apabila mereka dilantik untuk bertanding.

Dalam kes pilihan raya daerah yang akan datang, ketua daerah yang dipilih akan mengangkat sumpah pada awal 2025.

Seorang lagi tokoh menarik untuk pilihan raya daerah akan datang ialah Encik Anies Baswedan, yang tewas kepada Encik Prabowo Subianto dalam Pilihan Raya Presiden Februari.

Encik Anies, yang memenangi undian yang agak besar di Jakarta semasa pemilihan presiden, disebut-sebut sebagai pilihan untuk memenangi jawatan Gabenor Jakarta buat kali kedua berturut-turut.

Beberapa Anggota Parlimen yang baru dipilih iaitu Encik Ahmad Sahroni dari Parti NasDem; Encik Sudewo dari Parti Gerindra; Cik Ida Fauziyah dari Parti Kebangkitan Negara (PKB); Encik Dede Yusuf dari Parti Demokrat; Encik Sigit ‘Pasha Ungu’ Purnomo dari Parti Amanat Nasional (PAN); dan beberapa yang lain juga sedang mempertimbangkan penyertaan mereka dalam pilihan raya daerah memandangkan undi besar yang mereka menangi di kawasan masing-masing semasa Pemilihan Umum Legislatif (Pileg) baru-baru ini.

Pileg atau juga dirujuk sebagai Pemilu Legislatif dijalankan bagi memilih calon untuk mengisi kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD).

Untuk Pileg 2024, seramai 9,917 calon dari 18 parti politik bertanding dalam DPR kali ini.

Bagaimanapun, undang-undang semasa menetapkan bahawa Anggota Parlimen atau penggubal undang-undang mesti berundur dari kerusi perundangan jika mereka memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya daerah yang menyukarkan mereka untuk membuat keputusan.

Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pula bersedia menentang sesiapa sahaja yang disokong oleh Encik Jokowi dalam pilihan raya daerah.

Jika PDI-P menang, keputusan itu dianggap sebagai satu balasan terhadap keputusan Encik Jokowi untuk menyokong Encik Prabowo dan bukannya calon presiden PDI-P, Encik Ganjar Pranowo.

PDI-P telah menunaikan janjinya dengan enggan menyokong Encik Bobby Nasution, menantu Encik Jokowi, dalam usahanya bertanding jawatan gabenor Sumatera Utara.

Parti itu sebelum ini telah membatalkan keanggotaan PDI-P Datuk Bandar Medan itu kerana mengisytiharkan sokongannya kepada Encik Prabowo dalam Pilihan Raya Presiden.

Encik Bobby memenangi jawatan Datuk Bandar pada 2020 dengan sokongan PDI-P.

Walaupun bermusuhan dengan Encik Jokowi, PDI-P tidak mempunyai masalah membentuk gabungan dengan Parti Gerindra pimpinan Encik Prabowo dan sekutunya untuk memenangi beberapa kawasan strategik dalam pilihan raya tempatan akan datang, seperti wilayah Jawa Tengah, yang merupakan kubu tradisi PDI-P.

Dalam mesyuarat baru-baru ini, PDI-P menetapkan sasaran memenangi sebanyak mungkin jawatan ketua daerah untuk meningkatkan populariti sekiranya ia memutuskan tidak menyertai pemerintah yang akan datang.

PDI-P telah mengemukakan ahli politik terkemuka seperti mantan Gabenor Jakarta Basuki ‘Ahok’ Tjahaja Purnama; mantan Datuk Bandar Surabaya Tri Rismaharini dan bekas komander Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jeneral Andhika Perkasa, untuk pencalonan.

Selain itu, parti politik yang lain juga mempertaruhkan selebriti popular sebagai calon untuk jawatan ketua daerah sebagai cara mudah untuk memenangi undi atau sekurang-kurangnya untuk meningkatkan imej mereka.

Nama seperti Raffi Ahmad, Ahmad Dhani, Kris Dayanti, Rano Karno, Marshel Widianto dan Desi Ratnasari dicadangkan sebagai bakal calon.

Bagi mereka yang bercita-cita untuk jawatan ketua daerah dan wilayah, hampir tidak ada cara lain untuk merealisasikan hasrat mereka selain bertanding di bawah sepanduk parti politik.

Walaupun calon bebas dibenarkan bertanding, kebanyakan calon lebih gemar mendapatkan sokongan daripada parti politik.

Di Jakarta, sebagai contoh, hanya satu pasangan calon bebas telah mendaftar dengan suruhanjaya pilihan raya wilayah.

Ahli politik yang rapat dengan Istana Presiden berkata pilihan raya Gabenor Jakarta bukanlah satu-satunya pilihan untuk Encik Kaesang membina masa depan politiknya.

Menurut sumber, Presiden Jokowi sedang melakar prospek untuk anak bongsunya melalui beberapa tinjauan di pelbagai wilayah.

“Hasil tinjauan akhir akan disiapkan pada Ogos,” kata sumber itu.

Akhirnya Encik Kaesang akan bertanding di daerah yang mempunyai peluang terbaik untuk menang, berdasarkan tinjauan yang sedang dijalankan itu.

Sumber itu berkata Encik Jokowi telah mengamanahkan dua individu untuk menjalankan tinjauan.

Kedua-duanya lantang dalam menyokong penggal ketiga Encik Jokowi beberapa tahun lalu, termasuk Encik M. Qodari, pengasas Indobarometer.

Di Jakarta, PSI pimpinan Kaesang mesti membentuk gabungan untuk menjadikannya layak bertanding.

Encik Kaesang telah menyatakan minat bekerjasama dengan Encik Anies, tetapi sumber yang rapat dengan Encik Anies berkata mantan Gabernor Jakarta itu tidak memulakan langkah untuk memulakan perbincangan dengan pasukan Kaesang.

Encik Anies sebaliknya membuka komunikasi dengan salah seorang pemimpin PDI-P Jakarta.

PDI-P dikatakan telah mengemukakan usul untuk mengesahkan Encik Anies sebagai calon bagi jawatan Gabenor Jakarta. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg