TEL AVIV: Pilihan raya Israel pada 27 Oktober bakal menjadi ujian politik paling penting bagi Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, apabila pengundi menentukan sama ada beliau wajar terus memimpin negara itu selepas beberapa tahun dilanda peperangan, krisis keselamatan dan perpecahan politik.

Pilihan raya itu bukan sekadar menentukan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, tetapi juga hala tuju Israel selepas perang di Gaza, Lebanon dan Iran yang menjejaskan kedudukan negara itu di peringkat antarabangsa.

Ia merupakan pilihan raya nasional pertama sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan lebih 1,200 orang di Israel dan menyaksikan 251 individu dibawa sebagai tebusan ke Gaza.

Serangan tersebut dianggap kegagalan keselamatan paling buruk dalam sejarah Israel dan mencetuskan perang berpanjangan yang turut meningkatkan tekanan terhadap kepimpinan Encik Netanyahu.

Bagi ramai pengundi, pilihan raya kali ini menjadi peluang pertama untuk menilai tanggungjawab pemerintah terhadap kegagalan keselamatan itu, selain menentukan siapa yang mampu memimpin Israel menghadapi ancaman serantau.

Encik Netanyahu, yang paling lama memegang jawatan Perdana Menteri Israel, berdepan persaingan sengit daripada bekas ketua tentera, Encik Gadi Eisenkot, yang mengetuai parti berhaluan tengah, Yashar.

Tinjauan pendapat Channel 12 menunjukkan parti Yashar berpotensi memenangi 23 kerusi, berbanding 21 kerusi bagi parti Likud pimpinan Encik Netanyahu.

Bagaimanapun, tinjauan Channel 14 yang cenderung menyokong Encik Netanyahu menunjukkan keputusan berbeza, dengan Likud diramalkan memperoleh 30 kerusi berbanding sekitar 20 kerusi bagi Yashar.

Perbezaan tinjauan itu mencerminkan persaingan yang masih terbuka.

Israel menggunakan sistem perwakilan berkadar, dengan pengundi memilih parti dan bukannya calon Perdana Menteri secara langsung.

Sebanyak 37 senarai parti bertanding, tetapi hanya parti yang memperoleh sekurang-kurangnya 3.25 peratus undi layak memasuki Parlimen atau Knesset yang mempunyai 120 kerusi.

Untuk membentuk pemerintah, sesebuah gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 61 kerusi.

Tinjauan menunjukkan gabungan Encik Netanyahu, yang merangkumi parti sayap kanan dan parti Yahudi ultra-Ortodoks, berpotensi memperoleh antara 49 dengan 55 kerusi, masih kurang daripada majoriti diperlukan.

Pembangkang pula berdepan masalah perpecahan kerana beberapa pemimpinnya, termasuk bekas Perdana Menteri, Encik Naftali Bennett, dan bekas Menteri Pertahanan, Encik Avigdor Liberman, turut mempunyai cita-cita mengetuai pemerintah.

Keadaan itu membuka kemungkinan Israel sekali lagi berdepan kebuntuan politik, pembentukan pemerintah minoriti atau pilihan raya baru.

Satu faktor penting ialah penglibatan pengundi Arab yang membentuk kira-kira 20 peratus penduduk Israel.

Pada pilihan raya 2022, kadar keluar mengundi masyarakat Arab hanya 53.2 peratus, berbanding 70.6 peratus secara keseluruhan.

Kali ini, penganalisis menjangkakan kadar pengundian masyarakat Arab boleh melebihi 60 peratus, sekali gus mempengaruhi pembahagian kerusi dan peluang parti kecil memasuki Parlimen.

Selain keselamatan, kos sara hidup menjadi antara kebimbangan utama pengundi.

Tinjauan Channel 12 menunjukkan 21 peratus responden menganggap ekonomi dan kos sara hidup sebagai isu terpenting, diikuti pengecualian khidmat tentera bagi lelaki Yahudi ultra-Ortodoks sebanyak 17 peratus.

Kegagalan keselamatan pada 7 Oktober pula menjadi keutamaan 14 peratus responden, manakala perang dengan Iran sebanyak 10 peratus.

Isu khidmat tentera semakin sensitif kerana tentera Israel dilaporkan kekurangan lebih 12,000 anggota, sedangkan ramai anggota simpanan terpaksa menjalani penugasan berulang kali.

Parti ultra-Ortodoks yang menyokong Encik Netanyahu mahu mengekalkan pengecualian khidmat tentera bagi pelajar agama, sementara pembangkang mendesak pembahagian tanggungjawab ketenteraan yang lebih adil.

Perang Gaza turut memberi kesan peribadi kepada Encik Eisenkot apabila anaknya, Gal, 25 tahun, terbunuh ketika bertempur di wilayah itu pada Disember 2023.

Pembangkang menjadikan kegagalan keselamatan pada 7 Oktober sebagai isu utama, khususnya keengganan Encik Netanyahu menerima tanggungjawab peribadi dan menubuhkan suruhanjaya siasatan negara.

Bagi penduduk Palestin, keputusan pilihan raya turut membawa kesan besar.

Dua sekutu utama Encik Netanyahu, Encik Bezalel Smotrich dan Encik Itamar Ben-Gvir, menyokong peluasan penempatan Israel di Tebing Barat serta mengambil pendirian keras terhadap penduduk Palestin.

Encik Smotrich turut mahu membatalkan Perjanjian Oslo dan membubarkan Penguasa Palestin, manakala Encik Ben-Gvir menyokong penghijrahan penduduk Palestin dari Gaza dan Tebing Barat.

Namun, kemenangan pembangkang tidak semestinya membawa perubahan besar terhadap dasar Israel kerana Encik Eisenkot sendiri menolak penubuhan negara Palestin.

Perubahan yang mungkin berlaku lebih tertumpu kepada pendekatan diplomatik, penguatkuasaan terhadap keganasan peneroka Yahudi dan kerjasama dengan Amerika Syarikat serta negara serantau.

Di peringkat antarabangsa, Israel menghadapi tekanan semakin kuat berhubung peperangan di Gaza dan keganasan peneroka di Tebing Barat.

Tinjauan Pusat Kajian Pew pada Mac 2026 mendapati 60 peratus rakyat Amerika mempunyai pandangan negatif terhadap Israel, manakala 59 peratus kurang yakin terhadap kepimpinan Encik Netanyahu dalam urusan antarabangsa.

Beberapa negara Barat, termasuk Britain, Perancis dan Canada, turut mengiktiraf negara Palestin serta mengenakan sekatan terhadap individu dan entiti yang dikaitkan dengan keganasan pendatang haram.

Walaupun Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyokong Encik Netanyahu, keputusan pilihan raya ini tetap penting bagi hubungan Israel dengan Washington, Eropah dan negara Arab.

Apa pun keputusannya, pemerintah baru Israel perlu menangani persoalan yang masih belum selesai, termasuk masa depan Gaza, perlucutan senjata Hamas, keselamatan Tebing Barat dan pemulihan hubungan diplomatik yang semakin tegang.

Tinjauan terbaru menjelang pengundian turut menunjukkan persaingan sengit, dengan Channel 12 pada 23 Oktober mengunjurkan Yashar memperoleh 23 kerusi berbanding 21 bagi Likud. Namun, kedua-dua blok utama masih berdepan kesukaran mencapai majoriti 61 kerusi, menjadikan rundingan pembentukan pemerintah selepas pilihan raya amat penting. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti