TEL AVIV: Pilihan raya Israel pada 27 Oktober bukan sekadar menentukan masa depan politik Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, malah membawa kesan besar terhadap keselamatan Timur Tengah, khususnya konflik dengan Iran, pendudukan tentera Israel di Lebanon dan Syria serta usaha mewujudkan negara Palestin.

Bagaimanapun, negara jiran Israel tidak menjangkakan perubahan besar dalam dasar keselamatan negara itu, tanpa mengira siapa yang akhirnya membentuk kerajaan.

Menurut penganalisis, pendekatan keselamatan Israel semakin agresif sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, dengan pemerintah Israel lebih cenderung menggunakan kekuatan tentera berbanding diplomasi bagi menangani ancaman serantau.

Dasar tersebut merangkumi usaha melemahkan pemerintah Iran, mengekalkan kawasan penampan tentera di Lebanon dan Syria serta meneruskan kawalan ketenteraan di wilayah Palestin.

Justeru, persoalan utama bagi negara Timur Tengah bukan sama ada pilihan raya itu akan mengubah dasar Israel, tetapi sejauh mana pemerintah baru bersedia memperluas operasi ketenteraannya.

Sekiranya Encik Netanyahu kembali berkuasa dengan sokongan sekutu parti berhaluan kanan jauh, penganalisis menjangkakan beliau mungkin mengambil pendekatan lebih keras terhadap Iran.

Kemenangan itu juga boleh mengukuhkan kedudukan golongan yang menyokong peluasan operasi tentera Israel di negara jiran.

Sebaliknya, perubahan kepimpinan mungkin membuka ruang kepada pendekatan diplomatik lebih luas, walaupun tiada jaminan bahawa dasar keselamatan Israel akan berubah secara mendadak.

Penganalisis kanan bukan pemastautin di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Encik Paul Salem, berkata kebanyakan negara Timur Tengah tidak melihat perbezaan strategik yang ketara antara calon dan gabungan politik Israel.

Menurutnya, dasar pertahanan Israel yang menekankan kehadiran tentera di kawasan luar sempadannya dijangka diteruskan tanpa mengira keputusan pilihan raya.

“Mereka tidak melihat banyak perbezaan dalam pendekatan pertahanan Israel yang mahu mengekalkan kawasan pendudukan di Syria, Lebanon, Gaza dan Tebing Barat, yang terus menambahkan ketidakstabilan serantau,” katanya.

Sejak dua tahun lalu, tentera Israel telah mewujudkan dan memperluas kawasan penampan yang dikawal tentera di beberapa bahagian Lebanon dan Syria.

Israel mempertahankan langkah itu sebagai perlu bagi menghalang ancaman keselamatan dari wilayah berdekatan.

Namun, bagi negara jirannya, kehadiran tentera Israel menimbulkan persoalan mengenai kedaulatan wilayah dan kemungkinan pendudukan berpanjangan.

Sekiranya Encik Netanyahu terus memimpin pemerintah, kawasan tersebut berisiko dikekalkan atau diperluas, sekali gus menyukarkan usaha mencapai penyelesaian diplomatik.

Antara negara yang paling memberi perhatian kepada keputusan pilihan raya Israel ialah Iran, yang masih berdepan konflik ketenteraan dengan Israel dan Amerika Syarikat.

Walaupun permusuhan Israel terhadap Teheran dijangka berterusan tanpa mengira siapa yang memerintah, keputusan pilihan raya boleh mempengaruhi tempoh dan skala peperangan.

Menjelang pengundian, Encik Netanyahu cuba mendapatkan sokongan pengundi dengan menonjolkan hubungan rapatnya bersama Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

Beliau mendakwa dirinya merupakan pemimpin yang dikehendaki Encik Trump untuk membantu menyelesaikan operasi ketenteraan terhadap Iran secara menyeluruh.

Kenyataan itu meningkatkan kebimbangan Tehran bahawa kemenangan Encik Netanyahu boleh membawa kepada kempen ketenteraan Amerika-Israel yang lebih panjang dan meluas.

Pensyarah pengajian Israel di Universiti Tehran, Encik Hadi Borhani, berkata dasar Israel terhadap Iran kini bukan sekadar ancaman keselamatan biasa, malah boleh menjejas kewujudan negara tersebut.

“Pendekatan Israel ketika ini terhadap Iran menimbulkan ancaman besar kepada keselamatan dan kewujudan Iran.

“Dari sudut ini, pemilihan semula Netanyahu merupakan ancaman terhadap keutuhan wilayah Iran secara keseluruhan,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis menegaskan bahawa tiada petunjuk jelas pemimpin pembangkang Israel akan mengurangkan tekanan ketenteraan terhadap Teheran sekiranya mereka mengambil alih kerajaan.

Ini bermakna Iran mungkin terus berdepan ancaman ketenteraan Israel walaupun berlaku pertukaran kepimpinan di Tel Aviv.

Selain Iran, keputusan pilihan raya Israel turut membawa implikasi besar terhadap masa depan Palestin dan usaha memulihkan hubungan Israel dengan negara Arab.

Arab Saudi dan beberapa negara Teluk sebelum ini menegaskan bahawa sebarang perjanjian menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel perlu dikaitkan dengan pembentukan sebuah negara Palestin.

Namun, perkembangan politik Israel menunjukkan sokongan terhadap penyelesaian dua negara semakin lemah.

Parti dan pemimpin yang memperjuangkan pembentukan negara Palestin kini berada di pinggir arus perdana politik Israel.

Keadaan itu menyukarkan usaha diplomatik yang diterajui Amerika untuk membawa Israel dan Arab Saudi ke meja rundingan bagi mencapai persetujuan hubungan rasmi.

Bagi Riyadh, isu Palestin kekal penting dalam menentukan hala tuju hubungan dengan Israel.

Tanpa komitmen jelas terhadap pembentukan negara Palestin, usaha memperluas hubungan diplomatik Israel dengan negara Arab dijangka terus menghadapi halangan.

Pada masa sama, pendudukan Israel di Tebing Barat dan keadaan keselamatan di Gaza terus menjadi sumber ketidakstabilan serantau.

Penganalisis berpandangan bahawa keputusan pilihan raya Israel mungkin mengubah gaya kepimpinan dan pendekatan diplomatik kerajaan, tetapi tidak semestinya mengubah matlamat keselamatan negara itu.

Bagi negara Timur Tengah, persoalan paling mendesak ialah sama ada kerajaan Israel yang terbentuk selepas pilihan raya akan memilih jalan diplomasi atau meneruskan penggunaan kekuatan tentera.

Dengan konflik Iran masih belum selesai, pendudukan tentera di Lebanon dan Syria berterusan serta harapan pembentukan negara Palestin semakin jauh, keputusan pilihan raya Israel membawa kesan yang melangkaui sempadan negara itu.

Bagi negara jirannya, pilihan raya tersebut bukan sekadar menentukan siapa memerintah Israel, tetapi sejauh mana dasar kerajaan baru akan mempengaruhi keamanan dan kestabilan Timur Tengah. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti