KUALA LUMPUR: Pencalonan bagi menyertai pilihan raya umum ke-14 Malaysia (PRU14) pada 9 Mei ditutup 10 pagi pada Sabtu (28 April).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadapi pertempuran empat hala bagi kerusi Parlimen Pekan di Pahang.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu akan mempertahankan kerusi tersebut terhadap calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) Ahiatudin Daud, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zahid Mat Arip dan calon bebas Abd Kadir Sainudin.
Mantan perdana menteri Malaysia Mahathir Mohamad akan menghadapi pertarungan tiga penjuru di Langkawi terhadap penyandang BN Nawawi Ahmad dan Ketua PAS Langkawi Zubir Ahmad.
Beribu-ribu penyokong memenuhi pusat pencalonan di seluruh Malaysia untuk menyokong calon masing-masing apabila mereka masuk ke dalam bagi menyerahkan borang pencalonan.
Dua orang yang menarik perhatian dan sebelum ini berkata mereka akan bertanding tidak menghadirkan diri di pusat penamaan.
Bomoh Ibrahim Mat Zin tidak muncul di Bagan Datuk, Perak, tempat beliau berkata beliau akan bertanding menentang Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Dan di Batu Pahat, Johor, Datuk Puad Zarkashi – ketua bahagian Umno bagi kawasan itu yang tidak dipilih sebagai calon – juga tidak hadir untuk mendaftarkan namanya bagi pertandingan itu. Beliau sebelum ini memberi bayangan mungkin bertanding sebagai calon bebas.
Terdapat 222 kerusi parlimen, dengan setiap pemenang menjadi Ahli Parlimen.
Terdapat 505 kerusi yang akan dipertandingkan di 12 negeri daripada 13 negeri di Malaysia, dengan pemenang menjadi wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sarawak telah mengadakan pilihan rayanya pada Mei 2016.
Tempoh berkempen secara rasmi bermula pada Sabtu dan selama 11 hari hingga tengah malam 8 Mei.
Antara ciri utama PRU14 ialah penyandang menghadapi pertaringan berbilang sudut di kebanyakan kerusi Parlimen.
Tiga kumpulan utama dalam pertandingan ini ialah BN, yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak; pakatan pembangkang Pakatan Harapan (PH), pimpinan Tun Dr Mahathir, dan gabungan Gagasan Sejahtera, yang diketuai PAS.
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanding di bawah bendera PKR selepas rancangan mereka mendaftarkan PH dihalang oleh Pendaftar Pertubuhan, yang mengatakan PPBM gagal mengemukakan dokumen berkaitan mesyuaratnya dengan memuaskan.