Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pita himpun penyokong jelang undian Parlimen pilih PM baru Thailand

Jul 10, 2023 | 2:21 PM
MENANTI KATA PUTUS: Undian parlimen minggu ini akan menentukan sama pemimpin parti Move Forward, Encik Pita Limjaroenrat, akan menjadi Perdana Menteri baru Thailand.
MENANTI KATA PUTUS: Undian parlimen minggu ini akan menentukan sama pemimpin parti Move Forward, Encik Pita Limjaroenrat, akan menjadi Perdana Menteri baru Thailand. - Foto AFP

BANGKOK: Calon jawatan Perdana Menteri Thailand, Encik Pita Limjaroenrat, memberitahu penyokong pada Ahad bahawa beliau “tidak akan berundur” menjelang undian parlimen minggu ini yang akan menentukan sama ada beliau bakal memimpin negara itu.

Pemimpin Parti Move Forward (MFP) pro-demokrasi itu memperoleh kerusi terbanyak pada pilihan raya 14 Mei tetapi tiada jaminan ia akan dapat membentuk kerajaan atau beliau akan menjadi perdana menteri.

Gabungan lapan parti MFP mempunyai sejumlah 312 kerusi di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, ia masih kurang daripada 376 undi yang diperlukan di kedua-dua dewan Parlimen untuk menyokong Encik Pita merebut jawatan tertinggi itu.

Beliau menghadapi tentangan daripada 250 anggota Senat yang dilantik oleh tentera kerana kontroversi partinya untuk memperbaharui undang-undang fitnah terhadap Raja Thailand dan rancangan untuk menggoncang monopoli perniagaan.

Sementara itu, di luar Parlimen, Encik Pita disiasat berhubung dakwaan beliau memiliki saham dalam sebuah syarikat media yang kini tidak berfungsi. Penggubal undang-undang tidak dibenarkan memiliki saham media.

Encik Pita berkata Thailand kini menghadapi hari penting minggu ini apabila kedua-dua Dewan Tinggi dan Dewan Rendah akan mengundi.

“Jika anda tidak berundur, saya juga tidak akan berganjak,” katanya kepada ratusan penyokong yang berkumpul dalam hujan di tengah Bangkok.

“Jika kita membuat keputusan yang betul dan memberi peluang kepada Thailand, negara kita akan membangun,” katanya kepada orang ramai.

Tetapi jika keputusan itu salah, beliau berkata kitaran demokrasi yang lemah di Thailand akan berterusan.

“Saya tidak tahu berapa lama kita perlu menunggu sebelum peluang keemasan 13 Julai akan datang lagi,” tambahnya, merujuk kepada tarikh pengundian.

Encik Pita menggesa para senator supaya ingat “kita semua ahli politik rakyat”.

“Terima kasih saya kepada mereka yang menyatakan berpihak kepada rakyat dan kepada majoriti rakyat,” katanya.

Berikutan ucapannya, Encik Pita memberitahu pemberita bahawa beliau telah menemui “persamaan yang lebih rapat” dengan para senator.

“Mudah-mudahan dalam tempoh empat hari lagi kita akan dapat mencapai kata sepakat dan memajukan negara ini ke hadapan,” katanya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg