KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cuba memikat golongan belia di negara itu dengan menawarkan yuran tuisyen percuma, memendekkan tempoh kursus ijazah kepada tiga tahun dan memperluaskan pembelajaran hibrid.
Menjelang pilihan raya di enam negeri yang dijangka pada Julai, Datuk Anwar turut menarik balik keputusan baru-baru ini untuk menghentikan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pengajian perubatan, pergigian dan farmasi, dan menambah elaun mulai Julai bagi pemegang biasiswa yang ada sekarang.
“Untuk ini, kerajaan akan mengeluarkan belanja RM52.03 juta ($15 juta) bagi enam bulan mulai Julai, yang akan dinikmati 43,595 pelajar (perkhidmatan awam),” kata Datuk Anwar dalam satu kenyataan.
Beliau memberitahu pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi bahawa beliau percaya pendidikan tinggi harus diberikan secara percuma kepada semua rakyat Malaysia kecuali yang kaya, tetapi beliau memerlukan lebih banyak masa untuk melaksanakan dasar seperti itu.
Beberapa perubahan lain telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada 4 Jun. Ini termasuk langkah menyediakan sistem pembelajaran hibrid. Pelajar harus menghadiri kuliah pada tahun pertama dan tahun akhir, dan akan diberi pilihan belajar di rumah semasa tahun kedua.
Sekurang-kurangnya 44 kursus di sembilan universiti akan dipendekkan tempoh pembelajaran daripada empat kepada tiga tahun, bagi membolehkan mahasiswa memasuki pasaran pekerjaan lebih awal, menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin.
Kerajaan juga akan mengecualikan yuran tuisyen bagi 10,000 pelajar yang memerlukan, di 20 universiti awam, menjimatkan mereka kos sejumlah RM30 juta.
Sebanyak 20 universiti awam Malaysia menawarkan kira-kira 71,600 tempat bagi pengambilan pelajar baru. Kos bagi kursus ijazah perubatan di Universiti Malaya berjumlah RM14,200, sementara kos bagi ijazah undang-undang adalah RM8,200.
Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, memaklumkan pada 11 Jun bahawa hampir 4 peratus daripada mereka yang berusia 17 tahun di menengah lima, yang mendaftar bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) – setaraf dengan peringkat GCE ‘O’ di Singapura – tidak hadir menduduki peperiksaan, lebih tinggi daripada 2.7 peratus pada 2021.
Sekitar 403,000 pelajar menduduki peperiksaan SPM pada 2022.
Satu kajian oleh Pusat Penyelidikan Pendapat Universiti UCSI pada Mac mendapati bahawa hanya 51 peratus sahaja daripada 1,000 pelajar lepasan SPM antara usia 18 dan 20 tahun merancang melanjutkan pelajaran, dengan 34 peratus ingin menjadi pempengaruh dan 26 peratus lagi memilih untuk memasuki ekonomi gig – iaitu karyawan kontrak bagi jangka pendek.
Kemiskinan juga dikenal pasti oleh Kementerian Pelajaran sebagai salah satu alasan mengapa pelajar itu berhenti bersekolah.
Dr Mazlan Ali, seorang pensyarah kanak-kanak di Fakulti Teknologi dan Maklumat Razak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata bahawa kebelakangan ini Datuk Anwar telah mengadakan pertemuan dengan golongan mahasiswa, menjelang pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Dengan memulihkan pemberian biasiswa kerajaan dan menambah elaun mereka, Datuk Anwar dilihat oleh pelajar sebagai mengambil berat tentang masa depan mereka,” kata Dr Mazlan.
“Kita dapat melihat banyak insentif yang diumumkan Datuk Anwar buat pelajar. Ini akan mewujudkan momentum sokongan terhadap Datuk Anwar dan kerajaan perpaduannya di kalangan pelajar apabila mereka keluar membuang undi.”
Rakyat muda Malaysia berusia 18 hingga 21 tahun adalah golongan penduduk utama setelah diberi hak mengundi pada 2022. Mereka membentuk sejumlah 6 juta pengundi daripada sekitar 21 juta pengundi keseluruhannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg