Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dewan Undangan Negeri Selangor dibubar 23 Jun

Jun 19, 2023 | 4:23 PM
DIBUBAR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin (kiri) menyaksikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin (kanan) menandatangani proklamasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)  Selangor Ke-13 di Istana Alam Shah pada Isnin.
DIBUBAR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin (kiri) menyaksikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin (kanan) menandatangani proklamasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-13 di Istana Alam Shah pada Isnin. - Foto BERNAMA

KLANG: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dibubar pada Jumaat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menandatangani pengisytiharan pembubaran itu di Istana Alam Shah di sini sejurus selepas 10 pagi pada Isnin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, telah menghadap Sultan Sharafuddin pada sebelah pagi sebelum pengisytiharan tersebut dibuat.

Sehubungan dengan itu, Speaker Ng Suee Lim, akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai pembubaran DUN Selangor itu.

Pilihan raya negeri itu mesti diadakan selewat-lewatnya pada 23 Ogos – dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran.

Dengan pembubaran DUN Selangor itu, semua kerusi DUN akan dikosongkan.

Exco Selangor juga akan dibubarkan dan Datuk Amirudin akan melakukan tugas selaku Menteri Besar sementara.

Selangor akan menghadapi pilihan raya dengan lima negeri lain – Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, yang masih menunggu pembubaran.

Pembubaran DUN Selangor pada 23 Jun berlaku dua hari sebelum penggalnya tamat secara rasmi pada 25 Jun.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menasihatkan para calon dan penyokong mereka supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab dan mematuhi semua peraturan yang berkaitan.

“Calon dan penyokong mereka tidak boleh mempermainkan isu perkauman dan lain-lain isu sensitif yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat,” titah Sultan Sharafuddin selepas pengisytiharan pembubaran DUN Selangor itu.

Beliau turut mengingatkan calon dan penyokong mereka supaya tidak memfitnah lawan semasa berkempen.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda membuat pengisytiharan itu lebih awal kerana baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, akan menunaikan haji pada 20 Jun ini.

Beliau turut memaklumkan ahli Majlis Diraja Selangor yang hadir pada pengisytiharan itu bahawa beliau juga akan berada di London untuk menjalani pembedahan dan dijadualkan pulang pada 15 Ogos atau lebih awal. – The Star.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg