SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, mengarahkan semakan terhadap perkhidmatan polis dan agensi risikan selepas dua lelaki bersenjata menembak mati 15 individu di Pantai Bondi pada 14 Disember lalu.
Seorang bapa dan anak lelakinya dituduh melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai yang menghadiri sambutan Hanukkah yang diraikan masyarakat Yahudi pada hari tersebut – tindakan yang didakwa diilhamkan oleh ideologi kumpulan pengganas.
Encik Albanese berkata pemerintahnya akan meneliti sama ada pihak polis dan perkhidmatan risikan mempunyai kuasa, struktur serta aturan perkongsian maklumat yang mencukupi untuk memastikan keselamatan rakyat Australia.
“Kekejaman yang diasaskan oleh mereka Ahad lalu mengukuhkan lagi hakikat bahawa persekitaran keselamatan di negara kita berubah dengan pantas.
“Agensi keselamatan kita mestilah berada dalam kedudukan terbaik untuk bertindak balas,” katanya.
Penembak, Sajid Akram, 50 tahun, maut ditembak polis dalam serangan itu. Warga India berkenaan memasuki Australia menggunakan visa pada 1998.
Anak lelakinya, Naveed, 24 tahun, kelahiran Australia, terselamat tetapi cedera dan kini berada di hospital di bawah kawalan polis.
Dia berhadapan pelbagai pertuduhan termasuk pengganasan dan 15 pertuduhan membunuh.
Sementara itu Australia memberi penghormatan kepada mangsa serangan senjata api seminggu lebih awal pada 21 Disember, ketika Encik Albanese mengumumkan semakan semula terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang dan perisikan negara itu.
Negara itu menandakan hari memperingati sebagai menghormati 15 orang yang terbunuh dan berpuluh-puluh yang cedera dalam serangan dua lelaki bersenjata di pantai Bondi di Sydney pada 14 Disember.
Dengan keselamatan yang ketat dan bendera separuh tiang di bangunan pemerintah, tafakul seminit diadakan pada 6:47 petang, masa serangan bermula.
Rangkaian televisyen dan radio dihentikan sementara selama seminit.
Ribuan hadirin termasuk Encik Albanese serta para pemimpin lain turut sama menghadiri acara tersebut yang berlangsung di Pantai Bondi di bawah kawalan ketat polis.
Menurut pihak berkuasa Australia, Naveed pernah disiasat oleh Pertubuhan Risikan Keselamatan Australia (ASIO) pada 2019 atas kemungkinan radikalisasi, namun pada masa itu dia didapati tidak mendatangkan ancaman.
Bapanya juga pernah disoal siasat oleh perkhidmatan risikan sebagai sebahagian daripada siasatan namun dia berjaya memperoleh lesen senjata api yang membolehkannya memiliki enam laras senapang.
Beberapa minggu sebelum serangan di pantai Bondi, pasangan anak-beranak itu pulang ke Sydney selepas melakukan perjalanan selama empat minggu ke selatan Filipina, yang kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa di sana dan juga di Australia.
Susulan kejadian tembakan berdarah itu, Encik Albanese berkata terdapat isu jelas membabitkan perkhidmatan risikan negara berkenaan.
“Kita perlu meneliti dengan tepat bagaimana sistem itu berfungsi. Kita perlu melihat kembali apa yang berlaku pada 2019 apabila individu ini dipantau, serta penilaian yang telah dibuat,” katanya kepada penyiar nasional ABC.
Ditanya dalam temu bual berasingan mengenai perjalanan suspek ke Filipina, Encik Albanese berkata proses radikalisasi mereka kini sedang siasatan.
“Namun, hakikatnya mereka tidak dianggap sebagai individu yang berkepentingan (suspek) dan itulah sebabnya kejadian ini amat mengejutkan,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg