SYDNEY: Sekitar 1,000 penyelamat pantai kembali bertugas di Pantai Bondi, Sydney, pada 20 Disember.
Mereka kembali membuat rondaan selepas insiden serangan oleh dua lelaki bersenjata yang mengorbankan 15 orang dan mencederakan puluhan lagi mangsa ketika majlis sambutan perayaan kaum Yahudi, Hanukkah, berlangsung di kawasan tepi pantai itu.
Insiden tembakan pada 14 Disember itu – yang paling dahsyat di Australia dalam tempoh hampir 30 tahun – sedang disiasat sebagai perbuatan pengganasan yang menyasarkan masyarakat Yahudi.
Dalam pada itu, pihak berkuasa meningkatkan usaha meronda dan mengawal keselamatan di seluruh negara bagi mencegah insiden lain menyusuli serangan tersebut.
Penyelamat pantai sukarelawan dan profesional di Pantai Bondi, yang memakai seragam ikonik berwarna merah dan kuning, berbaris di pantai itu pada pagi 20 Disember untuk bertafakur selama dua minit bagi menghormati mangsa tembakan, menurut jurucakap badan bukan kerajaan (NGO), Surf Life Saving Australia.
Penghormatan itu dilakukan “sebagai tanda hormat kepada masyarakat Yahudi dan juga untuk menunjukkan sokongan antara satu sama lain”, kata presiden kumpulan itu, Encik Peter Agnew, dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.
Pada 19 Disember, masyarakat Yahudi Australia berkumpul di Pantai Bondi untuk melakukan upacara sembahyang, sementara ratusan perenang dan peluncur membentuk satu bulatan besar di perairan pantai terkenal itu bagi menghormati mangsa.
Menyusuli kehadiran Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese dalam satu acara di Great Synagogue, Sydney, pada 19 Disember, beliau memuat naik hantaran di platform media sosial X dan berkata:
“Semua rakyat Australia bersatu menentang anti-Yahudi dan kebencian.”
Encik Albanese, yang kini menghadapi tekanan daripada pengkritik yang menyifatkan pemerintahan beliau yang berhaluan kiri-tengah itu, tidak cukup menangani perbuatan anti-Yahudi, telah berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan berbaur kebencian susulan serangan tersebut.
Kerajaan persekutuan dan kerajaan New South Wales – yang memerintah Sydney – masing-masing telah berjanji melaksanakan pelbagai langkah pembaharuan, termasuk memperketat undang-undang kawalan senjata api.
Suspek, Sajid Akram, 50 tahun, ditembak mati oleh polis di tempat kejadian.
Manakala anaknya, Naveed Akram, 24 tahun, yang turut ditembak polis dan sudah sedar daripada koma pada 16 Disember, telah didakwa atas 59 pertuduhan, termasuk membunuh dan perbuatan pengganasan, menurut polis.
Pihak polis percaya perbuatan mereka didorong oleh ideologi kumpulan ISIS. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg