SYDNEY: Seorang bapa dan anak lelakinya bertindak didorong oleh “ideologi Negara Islam (ISIS)” apabila mereka melepaskan tembakan rambang dalam serangan paling dahsyat di Australia, kata Perdana Menteri, Encik Anthony Albanese, pada16 Disember.
Sajid Akram dan anak lelakinya, Naveed Akram, melepaskan tembakan ke arah penganut Yahudi yang memenuhi Pantai Bondi yang terkenal itu untuk sambutan Hanukkah pada petang Ahad, 14 Disember, mengorbankan 16 orang, termasuk Akram, serta mencederakan berpuluh-puluh lagi.
Pihak berkuasa menyatakan serangan itu bertujuan mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat Yahudi di negara itu, namun tiada butiran lanjut tentang motivasi sebenar mereka didedahkan.
Encik Albanese memberi petunjuk awal bahawa pasangan itu telah menjadi radikal oleh “ideologi kebencian”.
“Nampaknya ini didorong oleh ideologi Negara Islam,” kata Encik Albanese kepada penyiar kebangsaan ABC.
“Dengan kemunculan ISIS lebih sedekad yang lalu, dunia telah bergelut dengan ekstremisme dan ideologi kebencian ini,” katanya dalam temu bual berasingan.
Polis menemui sebuah kereta yang didaftarkan atas nama Sajid yang diletakkan berhampiran pantai selepas kejadian tembakan itu.
Mereka turut menemui bom buatan sendiri dan “dua bendera ISIS buatan sendiri”, kata Pesuruhjaya Polis New South Wales, Encik Mal Lanyon, pada 16 Disember.
Pihak berkuasa berdepan persoalan yang semakin meningkat sama ada mereka sepatutnya bertindak lebih awal untuk menggagalkan serangan itu.
Encik Albanese berkata Sajid, seorang tukang batu yang menganggur, pernah mendapat perhatian agensi risik Australia pada 2019 tetapi tidak dianggap sebagai ancaman segera pada masa itu.
Polis masih menyiasat pergerakan kedua-dua mereka sebelum kejadian tembakan itu.
Persoalan utama ialah sama ada mereka telah bertemu dengan pelampau Islam dalam perjalanan ke Filipina bulan lalu, lapor media Australia.
“Sebab-sebab mengapa mereka pergi ke Filipina, dan tujuannya, dan ke mana mereka pergi sedang disiasat,” kata Pesuruhjaya Lanyon kepada pemberita.
Naveed dilaporkan memberitahu ibunya pada hari serangan itu bahawa dia mahu keluar untuk memancing.
Sebaliknya, pihak berkuasa percaya bahawa dia telah bersembunyi di sebuah apartmen sewa bersama bapanya untuk merancang serangan itu.
Bersama senjata laras panjang, mereka melepaskan tembakan ke arah pantai dan taman berdekatan selama 10 minit sebelum polis menembak mati Sajid yang berusia 50 tahun.
Naveed, 24 tahun, masih koma di hospital di bawah kawalan polis.
Seramai 42 yang cedera telah dikejarkan ke hospital dengan luka tembakan dan kecederaan lain.
Para pemimpin Australia bersetuju perlunya mengetatkan undang-undang yang membenarkan Sajid memiliki sehingga enam senjata api.
Kejadian tembakan beramai-ramai jarang berlaku di Australia sejak seorang lelaki bersenjata membunuh 35 orang di bandar pelancongan Port Arthur pada 1996. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg