Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tembakan di Pantai Bondi: Wira yang lucut senjata suspek kian pulih selepas pembedahan

Pemilik kedai buah terpa penyerang dari belakang, luka akibat tembakan di lengan dan tangan
Dec 15, 2025 | 2:40 PM
Orang ramai membawa bunga untuk diletakkan di tugu peringatan sementara menyusuli kejadian tembakan di Pantai Bondi, di Sydney, Australia, pada 15 Disember 2025.
Orang ramai membawa bunga untuk diletakkan di tugu peringatan sementara menyusuli kejadian tembakan di Pantai Bondi, di Sydney, Australia, pada 15 Disember 2025. - Foto REUTERS

SYDNEY: Seorang pemilik kedai buah-buahan yang merampas senapang daripada salah seorang penyerang yang melakukan tembakan di Pantai Bondi di Sydney, Australia, kini beransur pulih di hospital selepas menjalani pembedahan akibat luka tembakan di lengan dan tangannya, kata keluarga beliau.

Encik Ahmed al Ahmed, 43 tahun, dikenal pasti di media sosial sebagai individu yang bersembunyi di sebalik kereta sebelum menerpa ke arah lelaki bersenjata itu dari belakang, merampas senapangnya dan merebahkannya ke tanah.

Menurut Polis Australia pada 15 Disember, seorang lelaki berusia 50 tahun, dan anak lelakinya, 24 tahun, telah melakukan serangan itu dalam satu majlis sambutan Yahudi, Hanukkah, di Pantai Bondi pada petang 14 Disember.

Ia menyebabkan 16 orang maut dalam kejadian tembakan beramai-ramai terburuk di negara itu dalam hampir 30 tahun.

Sepupu Encik Ahmed, Encik Mustafa, memberitahu 7News Australia, pihak doktor telah memaklumkan keluarga mereka keadaan Encik Ahmed kini stabil selepas pembedahan.

“Beliau seorang wira, beliau 100 peratus wira. Namun, beliau masih berada di hospital dan kami tidak tahu dengan tepat apa yang berlaku di dalam... tetapi kami berharap beliau akan baik-baik saja,” tambah Encik Mustafa.

Penghormatan mencurah-curah diberikan kepadanya oleh pemimpin dari dalam dan luar negara.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyifatkan Encik Ahmed sebagai “seorang yang sangat berani” yang menyelamatkan banyak nyawa.

Perdana Menteri New South Wales, Encik Chris Minns, memuji beliau sebagai “wira tulen” dan berkata video itu adalah “adegan paling luar biasa yang pernah saya lihat”.

Satu kempen memungut derma, GoFundMe, telah diadakan untuk Encik Ahmed, dengan lebih A$200,000 ($172,000) telah dikumpulkan dalam beberapa jam.

Jutawan pengurus dana pelindung nilai, Encik Bill Ackman, merupakan penderma terbesar, menyumbang A$99,999 dan berkongsi kutipan dana tersebut di akaun X beliau.

Menyusuli kejadian itu, kisah ngeri dan keberanian menjadi buah mulut rakyat Australia ketika mereka meratapi mereka yang terkorban itu.

Polis berkata dua penembak, pasangan bapa dan anak, telah melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang berkumpul untuk majlis sambutan Yahudi itu pada lewat 14 Disember.

Penembak berusia 50 tahun itu terbunuh di tempat kejadian manakala anak lelakinya yang berusia 24 tahun berada dalam keadaan tenat di hospital, kata polis.

Orang ramai kembali ke tempat kejadian itu pada 15 Disember untuk meletakkan jambangan bunga di sebuah tugu peringatan sementara di situ.

Cik Kellie Sloane, ketua pembangkang negeri yang pengundinya meliputi Bondi, berada di pantai itu ketika kejadian tersebut berlaku dan menyaksikan ramai orang mempertaruhkan nyawa mereka untuk membantu orang lain.

“Ia adalah pemandangan yang sangat mengejutkan, terdapat mayat di mana-mana, orang ramai berusaha untuk menyelamatkan orang lain.

“Apabila saya tiba, saya dapat mendengar beberapa tembakan, dan ada orang yang sedang merawat mereka yang cedera,” tambah Cik Sloane.

Pantai Bondi sebahagian besarnya sunyi pada 15 Disember, dengan semua lalu lintas disekat.

Perniagaan termasuk kafe, restoran, kedai dan pasar raya di sepanjang Campbell Parade yang biasanya dibuka telah ditutup.

Penduduk tempatan dan pengawal pantai dilihat memungut barang-barang di sepanjang pantai yang ditinggalkan oleh orang ramai yang melarikan diri semasa kejadian.

Encik Yuval Bar Nahum, 23 tahun, yang datang dari Israel dan tinggal di Bondi, berkata:

“Saya tidak pernah membayangkan ia akan berlaku di sini... Sebelum ini saya rasa sangat selamat di sini.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg