JAKARTA: Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, mengadakan perbincangan dengan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengenai kerjasama pertahanan dan perdagangan sejagat pada 15 Mei.
Beliau menyifatkan Jakarta sebagai “rakan kongsi yang amat diperlukan” dalam lawatan antarabangsa pertamanya sejak dipilih semula.
Encik Albanese, yang mengangkat sumpah jawatan pada 13 Mei selepas Parti Buruh berhaluan tengah pimpinannya memenangi peningkatan majoriti di Parlimen, berkata lawatannya menunjukkan keutamaan Canberra dalam hubungan pertahanan dan ekonomi dengan Jakarta.
“Indonesia adalah rakan kongsi yang sangat penting untuk Australia,” katanya dalam ucapan pembukaan ketika bertemu dengan Encik Prabowo dan barisan menteri di Istana Presiden.
Encik Prabowo berkata lawatan Encik Albanese adalah peluang untuk “meningkatkan penglibatan dan kerjasama kami dalam dua hala, serantau dan juga dalam konteks sejagat.”
Di samping itu, beliau turut menyifatkan hubungan Indonesia dengan Australia sebagai “kukuh”.
Kunjungan Encik Albanese ke Istana diiringi berpuluh-puluh askar yang menunggang kuda, sekitar 3,000 pelajar sekolah yang mengibarkan bendera dan upacara ketenteraan, kata pejabat presiden.
Terdahulu, Encik Albanese memberitahu pemberita Australia mahu mengukuhkan hubungan pertahanan dan membina perkongsian ekonomi dengan pelaburan yang lebih besar dengan Indonesia.
Pertemuan tidak rasmi dan mengejut dengan Encik Prabowo pada petang 14 Mei sebelum perbincangan rasmi menunjukkan hubungan yang mendalam itu, kata Encik Albanese.
Menurutnya, Australia memeterai perjanjian kerjasama pertahanan dengan Indonesia pada 2024 dan menjadi tuan rumah latihan pertahanan dan keselamatan maritim untuk pasukan Indonesia.
Indonesia menolak laporan pada April bahawa Russia telah meminta untuk menempatkan pesawat tentera di wilayah paling timur kepulauan Papua, kira-kira 1,200 kilometer di utara bandar Darwin di Australia, tempat pasukan Kor Marin Amerika Syarikat berpangkalan selama enam bulan dalam setahun.
“Jawapan Indonesia adalah tidak, mereka telah menyatakannya dengan sangat jelas,” kata Encik Albanese kepada pemberita apabila ditanya mengenai perkara yang telah menarik perhatian semasa kempen pilihan raya Australia.
Russia dilaporkan sedang cuba meningkatkan pengaruhnya di rantau itu dan Australia bertindak balas dengan menjalin hubungan dengan negara jiran termasuk Indonesia, tambah Encik Albanese.
Penganalisis kanan bagi pertahanan Institut Dasar Strategik Australia, Encik Euan Graham, berkata hubungan Australia-Indonesia telah “mengelak krisis serius selama lebih sedekad, kerjasama terus bergerak ke hadapan secara berperingkat dan terdapat kestabilan yang lebih besar berbanding sebelum ini”. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg