Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aust tuntut penjelasan Indonesia dakwaan Russia mahu pangkalan tentera di Papua

Apr 15, 2025 | 7:42 PM
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese. - Foto REUTERS

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, pada 15 April mengesahkan bahawa kerajaan beliau telah meminta penjelasan daripada Indonesia berhubung laporan dalam penerbitan pertahanan Janes yang mendakwa Russia telah membuat permohonan rasmi untuk menempatkan pesawat tenteranya di Papua.

“Kita tentunya tidak mahu melihat pengaruh Rusia bertapak di rantau ini,” kata Encik Albanese kepada pemberita.

Laporan Janes mendakwa Jakarta telah menerima permohonan daripada Moscow bagi mendapatkan kebenaran untuk menempatkan pesawat Angkatan Aeroangkasa Rusia (VKS) di sebuah fasiliti di wilayah Papua, Indonesia. Kawasan tersebut terletak kira-kira 1,200 kilometer di utara bandar Darwin, Australia, di mana pasukan Marin Amerika Syarikat berpangkalan secara bergilir selama enam bulan setiap tahun.

Beberapa pangkalan udara Australia juga sedang dinaik taraf untuk menerima kehadiran pengebom Amerika Syarikat.

Encik Albanese menambah bahawa Australia sedang “mendapatkan penjelasan lanjut” daripada Indonesia berhubung laporan itu, sambil menegaskan bahawa Canberra mempunyai hubungan baik dengan Jakarta.

Menteri Pertahanan Australia, Encik Richard Marles, dilaporkan telah berbincang dengan rakan sejawatannya di Indonesia, yang memaklumkan bahawa tiada pesawat tentera udara Rusia akan ditempatkan di Indonesia, menurut laporan Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Encik Roy Soemirat, pula berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung laporan tersebut.

Kementerian Pertahanan Indonesia dan jurucakap tentera Indonesia juga belum memberikan sebarang maklum balas kepada permintaan komen daripada Reuters.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Russia, Denis Manturov, dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di Istana Presiden di Jakarta, menurut laporan televisyen tempatan.

Menteri Luar Australia, Cik Penny Wong, dalam sidang media pada 15 April berkata: “Indonesia sangat penting untuk keselamatan Australia” dan kedua-dua negara telah memeterai perjanjian kerjasama pertahanan tahun 2024 lalu.

Ketua pembangkang Australia, Encik Peter Dutton, ketika berkempen pada 15 April menyatakan kebimbangan terhadap laporan tersebut dan beliau sedang mendapatkan taklimat daripada kerajaan Australia mengenai isu berkenaan. — Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg