OTTAWA: Perdana Menteri Canada, Encik Justin Trudeau, mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan dalam beberapa bulan akan datang setelah sembilan tahun memimpin negara.
Ini susulan tekanan hebat daripada ahli politik yang bimbang dengan prestasi buruk Parti Liberal dalam tinjauan pendapat prapilihan raya.
Keputusan itu diambil setelah melihat keputusan pilihan raya yang menunjukkan penurunan sokongan terhadap beliau.
Encik Trudeau, 53 tahun, yang dianggap sebagai salah seorang pemimpin progresif paling berpengaruh di dunia, menyatakan dalam satu sidang media bahawa beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri dan pemimpin Parti Liberal sehingga parti tersebut memilih pengganti dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Negara ini berhak mendapat pilihan yang sebenar dalam pilihan raya akan datang, dan jelas bagi saya bahawa jika saya terus berjuang dengan pertarungan dalaman, saya tidak boleh menjadi pilihan terbaik dalam pilihan raya itu,” kata Encik Trudeau.
Dalam sidang media, Encik Trudeau turut mengumumkan bahawa Parlimen Canada akan digantung sehingga 24 Mac, memberi isyarat bahawa pilihan raya tidak akan diadakan sebelum Mei.
Ini bermakna beliau masih kekal memimpin negara, sekurang-kurangnya pada permulaan, dalam menghadapi cabaran tarif yang mungkin dikenakan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Encik Donald Trump, pada 20 Januari.
Menurut tinjauan pendapat yang diterbitkan oleh Ipsos Canada pada 22 Disember, Parti Konservatif kini menguasai 45 peratus sokongan pengundi manakala Parti Liberal dan Parti Demokratik Baru (NDP) masing-masing memperoleh 20 peratus.
Hasil itu menunjukkan bahawa jika pilihan raya diadakan, Parti Konservatif dijangka menang besar.
Encik Trudeau, yang memulakan pemerintahannya pada November 2015 dengan mesej penuh harapan, kini berdepan dengan sokongan yang semakin merudum akibat kenaikan harga barangan dan kesukaran dalam pasaran perumahan selepas pandemik Covid-19.
Dalam satu kenyataan di luar kediamannya ketika suhu mencecah -15 darjah Celsius, beliau berkata:
“Saya bukan orang yang mengundur diri daripada pertarungan, terutama apabila pertarungan ini sangat penting.
“Namun, saya sentiasa didorong oleh cinta saya kepada Canada, dan sudah jelas kepada saya bahawa saya tidak boleh menjadi orang yang memimpin Parti Liberal dalam pilihan raya yang akan datang.”
Beberapa minggu kebelakangan ini, ahli politik dalam Parti Liberal secara terbuka menggesa Encik Trudeau agar meletakkan jawatannya selepas Menteri Kewangan, Cik Chrystia Freeland, mengundurkan diri dan menuduh Encik Trudeau menggunakan “gimik politik” untuk memulihkan sokongan pengundi.
Mantan Gabenor Bank Pusat, Encik Mark Carney, dan Cik Freeland, yang kedua-duanya berpotensi untuk menggantikan Encik Trudeau, mengeluarkan kenyataan ringkas mengucapkan terima kasih kepada beliau atas perkhidmatan yang diberikan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg