Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Jepun Sanae Takaichi bincang dengan Trump jelang pertemuan tiga hala
Akan teruskan kerjasama rapat dalam pelbagai isu termasuk yang melibatkan rantau Indo-Pasifik
PM Jepun Sanae Takaichi bincang dengan Trump jelang pertemuan tiga hala
TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, mengadakan perbincangan empat mata dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump di luar persidangan antarabangsa di Manila, dalam usaha mengukuhkan semula hubungan erat sebelum pemimpin Amerika itu bertemu rakan sejawatannya dari China dan Russia akhir minggu ini.
Kedua-dua mereka berbincang seketika di majlis makan malam yang dihoskan oleh Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos, pada 17 November, menurut kenyataan Kementerian Luar Jepun.
Kedua-dua pemimpin mengesahkan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dalam pelbagai isu termasuk yang melibatkan rantau Indo-Pasifik, kata kenyataan itu, yang dikeluarkan menjelang pertemuan Encik Trump dengan Presiden China, Encik Xi Jinping dan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin di bandar Shenzhen, selatan China pada 19 November.
Cik Takaichi berada dalam kedudukan sukar ketika beliau mengemudi hubungan yang amat dingin dengan China selepas kenyataannya mengenai Taiwan pada 2025 yang membangkitkan kemarahan Encik Xi.
Jepun juga berdepan tekanan daripada Russia yang menahan seorang wartawan Jepun atas dakwaan mengintip dan merampas aset syarikat Japan Tobacco.
Walaupun Jepun sudah lama menekankan rangka kerja pelbagai hala, kecenderungan Encik Trump untuk membuat perjanjian secara langsung merumitkan keadaan bagi Cik Takaichi, tatkala tanda komitmen Amerika yang semakin pudar di rantau ini mencetuskan kebimbangan terhadap keseimbangan geopolitik Asia.
Selepas sidang di Manila, semua tumpuan akan terarah kepada pertemuan Encik Trump dengan Encik Xi dan Encik Putin semasa sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).
Walaupun tidak mungkin membuahkan kemajuan besar ke arah menamatkan konflik yang sedang berlaku atau memajukan kawalan senjata, pertemuan itu mencetuskan kebimbangan mengenai tiga kuasa besar tersebut membincangkan isu global tanpa penyertaan negara lain yang terjejas.
Ini sekali gus mengundang perbandingan dengan Persidangan Yalta 1945 yang menyaksikan Amerika, Britain dan Kesatuan Soviet membentuk orde global pasca-Perang Dunia Kedua.
Terperangkap di antara ketegangan mengenai Taiwan di barat daya dan tekanan dari Russia di utara, Jepun berada dalam kedudukan yang canggung ketika ia berhati-hati mengimbangi nilai multilateralisme yang telah lama dipegang dengan pengurusan hubungannya bersama jiran-jiran, di samping memperjuangkan perjanjian keselamatan jangka panjang dengan Amerika.
Cik Takaichi kali terakhir bertemu Encik Trump pada September di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Dalam pertemuan itu, beliau cuba menyelaras isu-isu berkaitan China beberapa hari sebelum Encik Trump menyambut kedatangan Encik Xi di Washington.
Pemimpin Jepun itu mencetuskan kemarahan Beijing berikutan kenyataannya bahawa pencerobohan China ke atas Taiwan boleh dianggap sebagai “ancaman wujud” untuk Jepun melaksanakan pertahanan diri secara kolektif.
China bertindak balas dengan menyasarkan secara khusus keperluan Jepun terhadap unsur nadir bumi dan mineral kritikal. – Agensi berita.