Topik diikuti
Pergi ke BHkuPutin usul sidang kemuncak dengan Trump, Xi
Mahu bincang perjanjian Ukraine bagi tamatkan peperangan
Putin usul sidang kemuncak dengan Trump, Xi
MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, telah mencadangkan sidang kemuncak pada November bersama Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump dan pemimpin China, Encik Xi Jinping untuk merundingkan penamatan konflik Ukraine yang sudah berlarutan empat tahun, dengan syarat yang memihak Moscow, lapor Wall Street Journal (WSJ) pada 18 Oktober.
Sidang kemuncak yang dicadangkan itu muncul ketika hubungan Encik Trump dan Encik Putin semakin mesra, terutama selepas Presiden Amerika itu mengumumkan perjanjian membeli diesel Russia dan menandatangani perintah pada 16 Oktober yang melepaskan sekatan utama ke atas Moscow.
Memetik seorang mantan pegawai perisikan Russia yang diberi taklimat tentang perkara itu, WSJ berkata cadangan Encik Putin dibuat dalam panggilan telefon dengan Encik Trump pada 9 Oktober, yang juga menghasilkan perjanjian diesel antara kedua-dua negara.
Rumah Putih tidak segera menjawab permintaan agensi berita, Reuters untuk mengulas, manakala Kremlin tidak dapat dihubungi dengan segera di luar waktu pejabat biasa.
Kedutaan Russia dan China di Washington juga tidak segera membalas permintaan untuk mengulas.
Kremlin mencadangkan dialog tiga hala itu diadakan di luar sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang akan datang, kata laporan WSJ, memetik sumber yang mengetahui perbincangan itu.
Sidang kemuncak itu dijadual berlangsung pada 18 hingga 19 November di Shenzhen.
Jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, mengesahkan kepada WSJ bahawa perbincangan sedang berlangsung mengenai kemungkinan pertemuan.
“Belum ada kefahaman yang jelas tentang pertemuan itu sendiri atau agenda yang berpotensi, walaupun ketiga-tiga pihak mengakui kemungkinan hipotetikal pertemuan sedemikian berlaku,” katanya kepada WSJ.
Seorang pegawai kanan Amerika memberitahu WSJ bahawa Encik Trump belum bersetuju dengan sidang kemuncak itu namun beliau mungkin menerima idea tersebut.
Perjanjian diesel Encik Trump dengan Encik Putin dan perintah eksekutif yang melepaskan sekatan ke atas Moscow dikritik Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky.
Beliau memberi amaran bahawa langkah itu akan memberanikan Encik Putin dan memanjangkan perang. – Reuters.