Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Finland, Encik Petteri Orpo, atas kematian mantan presiden negara itu, Encik Martti Ahtisaari.
Dalam surat kepada Encik Orpo, Encik Lee berkata:
“Sebagai Presiden Finland yang pertama memenangi pilihan raya popular, Encik Ahtisaari telah menunjukkan kepimpinannya yang teguh dan kepintaran politiknya dalam memimpin Finland mengharungi masa yang sukar, serta memimpin penyertaan Finland ke dalam Kesatuan Eropah (EU).”
Encik Lee menambah, beliau mendapat peluang untuk bertemu dengan Encik Ahtisaari semasa lawatan negaranya ke Singapura pada 1995 – lawatan pertama Presiden Finland – dan mendapat banyak manfaat daripada perkongsiannya tentang perkembangan geopolitik di seluruh dunia.
Beliau turut berkata Encik Ahtisaari merupakan seorang negarawan antarabangsa yang sangat dihormati. Kepercayaan tegas beliau bahawa ‘setiap konflik dapat diselesaikan’ adalah sangat relevan untuk masa yang genting kini. Beliau juga telah menyumbang kepada penyelesaian konflik di benua yang berbeza selama beberapa dekad dan layak dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada 2008.
“Encik Ahtisaari terus memberikan inspirasi melalui Inisiatif Pengantaraan Krisis yang beliau tubuhkan. Pemergiannya akan dirasai dengan mendalam oleh seluruh dunia.”
“Ingatan saya bagi semua rakyat Finland dan keluarga Encik Ahtisaari pada masa bersedih ini,” katanya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg