Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Pakistan lawat Riyadh, Ankara perkukuh rundingan AS-Iran
PM Pakistan lawat Riyadh, Ankara perkukuh rundingan AS-Iran
PM Pakistan lawat Riyadh, Ankara perkukuh rundingan AS-Iran
ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, dijangka mengadakan lawatan ke Arab Saudi dan Turkey minggu ini dalam usaha menjadi pemudah cara pusingan kedua rundingan damai antara Amerika Syarikat dengan Iran ketika rentak diplomatik mula menunjukkan perkembangan positif.
Langkah itu dibuat ketika gencatan senjata selama dua minggu berjaya menghentikan serangan Amerika dan Israel ke atas Iran, sekali gus membuka ruang kepada rundingan baru.
Presiden Pakistan, Encik Asif Ali Zardari, berkata Encik Sharif telah memberi taklimat mengenai usaha berterusan untuk berhubung dengan negara pengantara lain bagi memastikan rundingan damai dapat diteruskan.
Beliau menggesa pemerintah Pakistan supaya terus berinteraksi dengan semua pihak utama.
“Kita perlu kekal terlibat dengan Amerika Syarikat, Iran dan kuasa-kuasa lain bagi memastikan proses damai ini dapat dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun rundingan bersemuka selama 21 jam antara Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, dan Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, berakhir tanpa hasil pada 5 April lalu, tanda sokongan antarabangsa terhadap usaha damai semakin jelas.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata rundingan mungkin disambung semula dalam masa terdekat, berkemungkinan di Pakistan.
“Rundingan mungkin akan disambung dalam tempoh dua hari, dan kemungkinan besar di Islamabad,” katanya dalam wawancara bersama New York Post.
Encik Trump turut memuji Ketua Tentera Pakistan, Encik Asim Munir, sebagai “melakukan kerja yang hebat” dalam usaha pengantaraan tersebut.
Menurut laporan Associated Press, seorang diplomat memaklumkan bahawa Washington dan Teheran bersetuju mengadakan rundingan lanjut, namun lokasi, masa dan komposisi delegasi masih belum dimuktamadkan.
Islamabad dan Geneva kini dipertimbangkan sebagai lokasi utama rundingan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Antonio Guterres, turut menyuarakan keyakinan bahawa rundingan akan disambung semula.
“Ia sangat berkemungkinan bahawa rundingan gencatan senjata akan dimulakan semula,” katanya selepas bertemu Timbalan Perdana Menteri Pakistan, Encik Ishaq Dar.
Namun, beliau mengingatkan bahawa konflik rumit tidak boleh diselesaikan dalam satu sesi rundingan sahaja.
“Kita tidak boleh menjangkakan masalah yang begitu kompleks dapat diselesaikan dalam satu pertemuan.
“Rundingan perlu diteruskan dan gencatan senjata mesti dikekalkan,” katanya.
Dalam tempoh gencatan senjata yang masih rapuh ini, Amerika terus meningkatkan tekanan dengan melaksanakan sekatan laut ke atas pelabuhan Iran, sebagai tindak balas terhadap tindakan Teheran menyekat laluan Selat Hormuz.
Langkah tersebut telah menyebabkan harga minyak sejagat melonjak dan menambah tekanan terhadap ekonomi dunia.
Laporan Al Jazeera menyatakan keadaan semasa menunjukkan perkembangan positif walaupun masih rapuh.
“Perkara paling penting ialah gencatan senjata masih bertahan,” ujar laporan tersebut sambil menambah komunikasi antara kedua-dua pihak kini terbuka.
“Amerika Syarikat dan Iran kini mengakui bahawa saluran komunikasi masih wujud,” tambah Al Jazeera.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita Iran, Tasnim, melaporkan Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, telah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Turkey, Encik Hakan Fidan, mengenai usaha rundingan dengan Amerika. – Agensi berita.
