Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Pakistan yang baru bangkit isu Kashmir, samakan dengan Palestin

Mar 5, 2024 | 1:17 PM
Perdana Menteri Pakistan yang baru dipilih, Encik Shehbaz Sharif, menyampaikan ucapan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Pakistan untuk penggal kedua di bangunan Perhimpunan Kebangsaan di Islamabad.
Perdana Menteri Pakistan yang baru dipilih, Encik Shehbaz Sharif, menyampaikan ucapan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Pakistan untuk penggal kedua di bangunan Perhimpunan Kebangsaan di Islamabad. - Foto AFP

ISLAMABAD: Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri Pakistan yang baru dipilih, Encik Shehbaz Sharif, membangkitkan isu pertikaian Kashmir, sambil berjanji untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara utama lain termasuk negara yang bersempadan dengan negara Asia Selatan yang bergolak itu.

Encik Shehbaz mengisytiharkan bahawa pemerintahnya akan menjalin lebih banyak sekutu dan berjanji untuk mengeratkan hubungan dengan semua negara terutama negara jiran.

“Kami akan mengekalkan hubungan dengan jiran atas dasar kesaksamaan,” kata Encik Shehbaz setelah memenangi pilihan raya di Dewan Negara untuk menjadi perdana menteri Pakistan buat kali kedua.

Bagaimanapun, Encik Shehbaz membangkitkan isu Kashmir dan cuba menyamakannya dengan pertikaian antara Israel dengan Palestin.

“Mari kita semua bersatu dan Perhimpunan Kebangsaan harus meluluskan resolusi untuk kebebasan Kashmir dan Palestin,” tambahnya pada 3 Mac.

Di samping itu, beliau turut melahirkan rasa terima kasih kepada rakan gabungannya kerana mengiktiraf kebolehannya dan melantik beliau sebagai Ketua Dewan.

“Apabila pemimpin kita (Encik Nawaz Sharif) dipilih sebagai perdana menteri sebanyak tiga kali, pembangunan yang berlaku dalam negara adalah contoh tersendiri.

“Tidak salah untuk mengatakan bahawa (Encik) Nawaz Sharif adalah orang di sebalik pembangunan Pakistan,” kata Encik Shehbaz dalam ucapan kemenangannya.

Encik Shehbaz, 72 tahun, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua, hampir empat minggu selepas kekecohan ketika pilihan raya umum yang menyebabkan kelewatan dalam pembentukan kerajaan campuran.

Beliau secara rasmi memegang jawatan pada majlis angkat sumpah jawatan di pejabat Presiden di ibu negara pada 4 Mac, Islamabad.

Ia sehari selepas Parlimen melantiknya sebagai Perdana Menteri walaupun terdapat bantahan daripada ahli parlimen yang sehaluan dengan bekas Perdana Menteri, Encik Imran Khan, yang kini menjalani hukuman penjara.

Pilihan raya yang berlangsung 8 Februari dicemari oleh penutupan perkhidmatan Internet mudah alih, penangkapan serta keganasan.

Keputusan yang tertangguh turut mencetuskan dakwaan adanya penipuan dalam proses kiraan undi.

Calon yang disokong oleh Encik Khan memperoleh kerusi terbanyak tetapi Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran.

PML-N yang diterajui oleh Encik Shehbaz – adik kepada Encik Nawaz Sharif – kembali kepada peranan yang dipegangnya sebelum ini sehingga Ogos apabila Parlimen dibubarkan untuk membuat persiapan bagi pilihan raya.

Di parlimen yang mempunyai 336 anggota, Encik Shehbaz, calon bersama Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan Parti Liga Islam Pakistan-Nawaz (PML-N), menerima 201 undi.

Lagi 92 undian memihak kepada lawannya, Encik Omar Ayub Khan, daripada Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf, yang sebelum ini diterajui Encik Khan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg