Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Qatar ke Teheran usaha hidupkan semula rundingan Iran-AS
TEHERAN: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dijadual mengunjungi Tehran pada 27 Ogos dalam usaha meredakan ketegangan dan membuka semula laluan rundingan antara Iran dengan Amerika Syarikat ketika konflik kedua-dua negara menghampiri bulan keenam.
Lawatan itu berlangsung ketika pertempuran antara Amerika dengan Iran sebahagian besarnya terhenti sejak hampir sebulan lalu, tetapi usaha diplomatik masih buntu, terutama berhubung pertikaian mengenai Selat Hormuz.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed al-Ansari, berkata Sheikh Mohammed, yang juga Menteri Luar Qatar, akan bertemu beberapa pegawai kanan Iran bagi membincangkan usaha “meredakan ketegangan” dan “mewujudkan keadaan yang sesuai untuk dialog”.
“Lawatan itu selaras dengan pendirian teguh Qatar bahawa jalan diplomasi adalah kaedah terbaik untuk menyelesaikan perbezaan serta meningkatkan keselamatan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.
Kementerian Luar Iran turut mengesahkan lawatan tersebut dan berkata perbincangan akan memberi tumpuan kepada usaha dan inisiatif pengantaraan Qatar serta perkembangan serantau.
Qatar, yang merupakan jiran Iran di Teluk dan sekutu rapat Amerika, memainkan peranan penting sebagai pengantara tidak langsung antara Washington dengan Teheran sejak perang tercetus pada 28 Februari.
Doha turut membantu menghasilkan memorandum persefahaman pada Jun yang menghentikan sementara pertempuran sebelum perjanjian itu menemui jalan buntu pada Julai.
Pertikaian mengenai Selat Hormuz menjadi antara halangan terbesar kepada usaha menghidupkan semula perjanjian tersebut.
Sebelum perang, selat strategik antara Iran dengan Oman itu menjadi laluan bagi kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair dunia.
Iran mahu mengekalkan kawalan ke atas selat itu sebagai sebahagian daripada kuasa tawar-menawarnya, manakala Amerika menegaskan ia harus kekal sebagai laluan perairan antarabangsa yang bebas digunakan semua pihak.
Aliran minyak melalui Selat Hormuz kini jatuh ke paras terendah dalam tiga bulan.
Data pengesanan kapal menunjukkan hanya sekitar lima juta tong minyak sehari melalui selat tersebut pada 24 Ogos, berbanding kira-kira 20 juta tong sehari sebelum perang.
Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pula melaporkan 70 insiden berlaku di Selat Hormuz sejak 28 Februari, mengakibatkan 19 kelasi terbunuh.
Kementerian Luar Qatar berkata isu kebebasan pelayaran akan menjadi antara perkara utama yang dibincangkan Sheikh Mohammed di Teheran, termasuk usaha mengembalikan keadaan di selat itu seperti sebelum perang bermula pada 28 Februari.
Lawatan Sheikh Mohammed dilakukan dua hari selepas Menteri Luar Oman, Encik Badr Albusaidi, bertemu Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, di Teheran bagi membincangkan isu sama.
Susulan pertemuan itu, Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Kazem Gharibabadi, berkata Iran dan Oman mencapai persetujuan mengenai laluan sementara baru untuk kapal melalui Selat Hormuz.
Namun, seorang pegawai kanan Iran kemudian berkata persetujuan muktamad belum dicapai dan kedua-dua negara masih membincangkan butirannya.
Teheran turut menegaskan Selat Hormuz tidak akan dibuka sepenuhnya sehingga Amerika memenuhi komitmennya di bawah perjanjian Jun, termasuk menarik balik sekatan, membebaskan aset Iran yang dibekukan dan menangani tuntutan pampasan Tehran.
Usaha diplomatik serantau semakin rancak sejak beberapa hari lalu.
Ketua Tentera Pakistan, Jeneral Asim Munir, turut mengunjungi Teheran pada 24 Ogos dalam usaha memecahkan kebuntuan, dengan Islamabad melaporkan “kemajuan ketara” dalam perbincangan tersebut.
Namun, belum jelas sama ada usaha pengantaraan itu dapat membawa Washington dan Tehran kembali ke meja rundingan.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada 26 Ogos berkata beliau “tidak tergesa-gesa” untuk menyambung semula rundingan dengan Iran kerana percaya tekanan ekonomi dan ketenteraan terhadap Tehran berkesan.
“Saya tidak mempunyai sebarang jadual masa; selama mana yang diperlukan,” katanya.
Washington sebaliknya meningkatkan tekanan ekonomi dengan merancang sekatan tambahan terhadap rakan dagang Iran dalam usaha memutuskan sumber pendapatan Teheran.
Iran mengecam langkah itu.
Dalam surat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Araghchi menyifatkan sekatan baru Amerika sebagai “tindakan keganasan negara dan ekonomi” dan menggesa negara anggota supaya tidak melaksanakannya.
Beliau berkata sekatan tersebut memberi kesan langsung kepada orang awam dengan menyekat akses kepada makanan, ubat-ubatan, peralatan perubatan, tenaga dan keperluan asas lain.
Walaupun serangan ketenteraan kini sebahagian besarnya terhenti – dengan Markas Pusat Amerika (Centcom) tidak melaporkan serangan terhadap Iran sejak hampir sebulan lalu - kebimbangan kekal bahawa kegagalan diplomasi boleh mencetuskan semula perang.
Profesor Universiti Sains Gunaan di Teheran, Encik Mostafa Khoshcheshm, berkata negara serantau kini giat mendorong dialog kerana bimbang keadaan boleh kembali meruncing.
“Mereka tahu jika perang tercetus semula, ia akan menjadi perang besar dan apinya boleh merebak ke seluruh rantau dan lebih jauh lagi, dengan kesan buruk terhadap ekonomi dunia,” katanya.
“Oleh itu, kita kini melihat usaha diplomatik yang sangat rancak daripada negara-negara ini.” - Agensi berita
