TEHERAN: Pakistan dan Iran mencatat “kemajuan besar” dalam rundingan bagi mencari jalan menamatkan perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, termasuk usaha mencegah ketegangan lanjut dan membuka semula Selat Hormuz, menurut Menteri Dalam Negeri Pakistan, Encik Mohsin Naqvi.

Perkembangan itu diumumkan pada 25 Ogos selepas Panglima Tentera Pakistan, Marsyal Asim Munir, menamatkan lawatan ke Teheran dan mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin kanan Iran, termasuk Presiden Masoud Pezeshkian.

Menurut kenyataan tentera Pakistan, perbincangan memberi tumpuan kepada langkah mengelakkan konflik daripada terus meningkat, membuka semula Selat Hormuz kepada pelayaran serta mempercepat usaha menamatkan perang.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai keamanan serantau dan langkah yang boleh diambil bagi mencapai penyelesaian menerusi rundingan.

“Presiden Iran berkongsi secara terbuka perspektif pemerintahnya dan kami mengadakan pertukaran pandangan yang sangat membina mengenai isu yang terlibat,” kata Encik Naqvi menerusi X.

Encik Naqvi mengiringi Marsyal Munir dalam lawatan tersebut.

Lawatan ke Teheran itu mendapat perhatian kerana Marsyal Munir dilaporkan bercakap dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sebelum berangkat ke Iran, mengukuhkan lagi peranan Islamabad sebagai pengantara utama antara Washington dengan Teheran.

Menurut laporan media, Marsyal Munir memberitahu pemimpin Iran bahawa setiap proses diplomatik perlu dibincangkan dan diteliti dengan “penuh ketepatan dan berhati-hati” bagi mencapai matlamat bersama serta menghasilkan perjanjian menyeluruh.

“Pakistan akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan tegas,” katanya.

Beliau berkata kejayaan menamatkan krisis semasa boleh membuka “lembaran baharu kerjasama menyeluruh” yang memberi tumpuan kepada pembinaan semula, pembangunan serantau dan keselamatan bersama.

Marsyal Munir turut berikrar meneruskan usaha membantu memulihkan kestabilan di rantau itu.

Selain bertemu Encik Pezeshkian, beliau mengadakan pertemuan dengan Speaker Parlimen Iran yang juga ketua perunding, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, serta Encik Mohsen Rezaei, ketua badan keselamatan nasional tertinggi Iran.

Kementerian Luar Iran sebelum ini berkata lawatan Marsyal Munir adalah sebahagian daripada “usaha berterusan Pakistan untuk membantu mengukuhkan keamanan dan keselamatan di rantau ini”.

Pakistan muncul sebagai pengantara utama sejak perang antara Amerika-Israel dengan Iran bermula pada 28 Februari lalu dan terus mengekalkan hubungan dengan Washington serta Teheran.

Islamabad sebelum ini membantu mendapatkan gencatan senjata pada 8 April dan kemudian menjadi tuan rumah rundingan langsung peringkat tinggi antara Amerika dengan Iran pada 11 dan 12 April.

Ia merupakan rundingan langsung peringkat tertinggi antara kedua-dua negara sejak hubungan diplomatik mereka terputus pada 1979, tetapi pertemuan itu berakhir tanpa keputusan muktamad.

Usaha diplomatik diteruskan sehingga Amerika dan Iran menandatangani Memorandum Persefahaman Islamabad pada 17 Jun, yang menjadi asas kepada rundingan bagi mencapai perjanjian akhir.

Rundingan itu bagaimanapun kemudian menemui kebuntuan, terutama berhubung jaminan keselamatan dan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz.

Selat itu menjadi antara isu utama dalam konflik kerana ia merupakan laluan strategik bagi perdagangan dan bekalan tenaga dunia.

Ketegangan kembali meningkat antara 8 hingga 24 Julai apabila Amerika dan Iran saling melancarkan serangan.

Washington menyerang beberapa sasaran di Iran, manakala Teheran membalas dengan menyerang kemudahan dan aset ketenteraan Amerika di beberapa negara Arab, termasuk Jordan, Bahrain dan Kuwait.

Usaha terbaru Pakistan berlangsung ketika Encik Trump meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Teheran.

Beliau memberi amaran bahawa negara yang menyediakan “sebarang bentuk talian hayat kepada Iran” boleh berdepan tindakan ekonomi Amerika.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, kemudian mengumumkan rancangan memperluaskan sekatan sekunder terhadap Iran, termasuk menyasarkan sektor aset digital, teknologi, emas, penerbangan dan perkapalan.

Encik Bessent turut memberi amaran bahawa mana-mana entiti yang membantu Teheran melakukan pengubahan wang haram boleh disingkirkan daripada sistem kewangan Amerika.

Iran menolak tekanan itu.

Encik Ghalibaf berkata Amerika tidak berada dalam kedudukan ekonomi untuk menentukan hubungan negara lain dengan Teheran.

Perkembangan tersebut meletakkan Pakistan dalam kedudukan yang semakin rumit kerana negara itu bukan sahaja menjadi pengantara utama, malah mempunyai hubungan perdagangan penting dengan Iran dan berpotensi terjejas oleh sekatan sekunder Washington.

Teheran pula sebelum ini mengancam menghentikan sepenuhnya eksport minyak dari Teluk jika tekanan Amerika terus meningkat.

Sejak perang bermula pada 28 Februari, lebih 3,500 orang, termasuk orang awam dan anggota tentera, dilaporkan terbunuh di Iran.

Iran turut melancarkan serangan terhadap pangkalan dan aset Amerika di Timur Tengah, dengan Pentagon mengesahkan 18 anggota tenteranya terbunuh dan 756 lagi cedera sepanjang konflik.

Kemajuan dalam rundingan Pakistan-Iran kini meningkatkan harapan terhadap usaha diplomatik baharu, tetapi persoalan utama kekal sama – sama ada Washington dan Teheran bersedia berkompromi mengenai Selat Hormuz dan jaminan keselamatan yang sebelum ini menyebabkan rundingan menemui jalan buntu. – Agensi berita.