STOCKHOLM: Perdana Menteri Sweden berkata penembakan seorang pejuang anti-Islam hanya beberapa jam sebelum perbicaraan kes membakar Al-Quran diputuskan pada 30 Januari mungkin ada kaitkan dengan kuasa asing.
Polis Sweden telah menahan lima individu yang disyaki ada kaitan dengan pembunuhannya itu.
Salwan Momika, 38 tahun, seorang pelarian Iraq, ditembak di sebuah rumah di bandar Sodertalje dekat Stockholm pada 29 Januari.
Seorang pendakwa raya mengarahkan supaya lima orang yang disyaki itu ditahan, kata polis, tanpa menyatakan sama ada lelaki bersenjata itu adalah antara suspek itu.
Momika telah membakar Al-Quran sama ada di khalayak ramai atau dalam siaran media sosial pada 2023.
“Saya boleh memberi jaminan bahawa perkhidmatan keselamatan terlibat dalam siasatan secara mendalam kerana jelas terdapat kaitan kuasa asing,” kata Perdana Menteri Sweden, Encik Ulf Kristersson, dalam sidang akhbar pada 30 Januari.
Naib Perdana Menteri, Cik Ebba Busch, mengutuk kes pembunuhan itu.
“Ia adalah ancaman kepada demokrasi bebas kita. Ia mesti dikecam sepenuhnya oleh masyarakat kita,” tulisnya di X.
Mahkamah Stockholm telah menolak kes melibatkan Momika selepas kematiannya.
Ia berkata keputusan melibatkan lelaki lain dalam perbicaraan jenayah yang sama atas “kesalahan menyebabkan kegelisahan kumpulan etnik atau warga,” berkaitan dengan pembakaran Al-Quran akan ditangguhkan sehingga 3 Februari.
Sweden telah memberi amaran tahap kedua tertinggi tentang ancaman terhadap negara itu di dalam dan luar negara selepas kejadian pembakaran Al-Quran, kebanyakannya oleh Momika, menimbulkan kemarahan umat Islam termasuk pejuang jihad.
Perkhidmatan Keselamatan berkata ia sedang menilai potensi kesan pembunuhan itu “ke atas keselamatan Sweden”.
Meskipun pemerintah Sweden mengutuk gelombang pembakaran Al-Quran pada 2023, namun perbuatan itu secara meluas dianggap sebagai bentuk kebebasan bersuara yang dilindungi di negara itu.
Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei berkata pada 2023 bahawa orang yang mencemarkan Al-Quran harus menghadapi “hukuman paling berat” dan Sweden telah “terlibat dalam perang ke atas dunia Islam” dengan menyokong mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg