BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, pada 6 Oktober mengarahkan usaha bantuan segera selepas banjir besar akibat hujan lebat dan ribut selama beberapa hari melanda 16 wilayah, meragut 12 nyawa serta menjejaskan lebih 100,000 isi rumah.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Thailand, banjir menenggelamkan sebahagian kawasan di utara, tengah dan timur laut negara itu. Wilayah Uttaradit di utara antara yang paling teruk terjejas dengan lima kematian dilaporkan.
“Air naik terlalu cepat, kami terpaksa naik ke bumbung, tapi bumbung mula runtuh dan kami terpaksa tinggalkan rumah,” kata seorang penduduk, Encik Sakchai, kepada penyiar rasmi ThaiPBS. “Sekarang kami menumpang di kuil,” tambahnya.
Encik Anutin berkata pihak berkuasa sedang menghantar bantuan kecemasan dan menilai kerosakan harta benda. “Thailand kini berdepan banjir, ribut dan tanah runtuh di banyak wilayah, mengakibatkan kerosakan besar serta kehilangan nyawa,” katanya dalam mesyuarat pasukan khas.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar berwaspada kerana hujan monsun dijangka berterusan, sekali gus meningkatkan risiko banjir susulan. Pasukan penyelamat dan tentera dikerahkan ke kawasan terjejas bagi menyalurkan makanan, air bersih dan keperluan asas kepada mangsa.
Pada 2024, 22 orang terkorban akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan monsun di Thailand. Pihak berkuasa kini berusaha memastikan amaran awal dan langkah pemindahan dilakukan lebih cepat untuk mengelakkan kehilangan nyawa.
“Kami berterima kasih kerana bantuan datang pantas, tapi kami masih perlukan bekalan makanan dan tempat tinggal selamat,” kata Encik Sakchai, menggambarkan kesusahan yang dihadapi mangsa banjir.
Kerajaan Thailand menegaskan semua agensi berkaitan sedang bekerja tanpa henti bagi membantu mangsa dan memulihkan kawasan terjejas secepat mungkin. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg