SONGKHLA: Banjir terburuk yang melanda selatan Thailand dalam beberapa dekad telah meragut 22 nyawa, manakala ribuan penduduk masih terkandas di pusat pemindahan sementara.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka melanda lagi dalam beberapa hari akan datang.
Sehingga 2 Disember, 671 kampung dan lebih 95,000 penduduk, melibatkan 48,947 isi rumah, terjejas akibat bencana itu.
“Kesemua 16 daerah di wilayah Songkhla telah diisytiharkan sebagai zon bencana akibat banjir besar ini,” kata Gabenor Songkhla, Encik Chotnarin Kerdsom.
Beliau menandatangani perintah darurat selepas hujan lebat berterusan dari 22 hingga 28 November menyebabkan air banjir berada di paras tinggi di kebanyakan kawasan dan banyak jalan raya terputus hubungan, memburukkan lagi keadaan penduduk yang terjejas banjir.
“Keadaan dijangka berlarutan sehingga 7 Disember dan kami sedang berusaha keras untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” tambah Encik Chotnarin.
Pasukan penyelamat, dibantu oleh anggota tentera bertungkus lumus memindahkan penduduk ke kawasan lebih selamat.
“Kami membantu memindahkan penduduk dari rumah yang tenggelam dan memantau paras air di kawasan terjejas teruk seperti Nam Phut dan La-ngu,” kata jurucakap tentera.
Pihak tentera turut menyediakan bantuan logistik seperti bot penyelamat, untuk memudahkan proses pemindahan dan penghantaran bekalan kepada penduduk yang terkandas.
Menurut Jabatan Meteorologi, tekanan rendah dari Laut China Selatan dijangka bergerak ke Teluk Thailand, membawa hujan lebat dan risiko banjir kilat di kawasan yang telah terjejas dari 3 hingga 5 Disember.
“Kami menjangka hujan lebat tambahan yang mungkin memburukkan keadaan di kawasan rendah,” kata seorang pegawai jabatan itu.
Sementara itu, hujan telah sedikit reda dalam beberapa hari terakhir, namun ancaman hujan baharu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pihak berkuasa.
“Curahan hujan pada tahun ini (2024) sangat luar biasa berbanding musim monsun biasa,” tambah pegawai tersebut.
Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, telah mengarahkan semua agensi kerajaan mempercepatkan langkah pemulihan dan bantuan kepada mangsa banjir.
“Setiap isi rumah yang terjejas akan menerima bantuan kewangan dan kami telah mengarahkan Bank Simpanan Kerajaan agar menyediakan pinjaman mudah kepada perniagaan yang terjejas,” kata jurucakap kerajaan, Encik Jirayu Houngsub. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg