BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata pada 24 September bahawa merancang untuk membubarkan Parlimen menjelang akhir Januari, dengan pilihan raya umum menyusul pada Mac atau awal April.
Encik Anutin memenangi undi Parlimen pada awal September untuk menjadi perdana menteri ketiga Thailand sejak Ogos 2023, selepas menarik parti Bhumjaithainya pimpinannya daripada gabungan pemerintah yang diketuai oleh parti Pheu Thai.
Sejak Pilihan Raya 2023, pejabat tertinggi Thailand telah dimonopoli oleh Parti Pheu Thai dari Dinasti Shinatawatra – sebuah kuasa populis (penyokong rakyat biasa) yang telah lama berseteru dengan golongan promonarki dan protentera.
Pewaris dinasti tersebut, Cik Paetongtarn Shinawatra, telah dipecat daripada jawatan perdana menteri pada Ogos lalu melalui perintah mahkamah.
Ekorannya, Encik Anutin bergegas menyatukan kerajaan gabungannya dan memenangi undi Parlimen pada 5 September untuk menyekat Pheu Thai daripada jawatan tersebut.
Untuk memenangi kuasa, beliau mendapat sokongan kumpulan pembangkang terbesar di Parlimen, Parti Rakyat, yang mengemukakan beberapa tuntutan - termasuk menyeru diadakan pilihan raya dalam tempoh empat bulan selepas Encik Anutin memegang jawatan.
Tuntutan tersebut adalah sebahagian daripada perjanjian untuk menyokong pemimpin Bhumjaithai itu.
Encik Anutin, seorang hartawan binaan, sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan, tetapi mungkin paling terkenal sebagai arkitek yang meluputkan langkah mensabitkan pengguna ganja sebagai penjenayah di Thailand pada 2022.
Beliau juga terkenal kerana menguruskan tindak balas penularan wabak Covid-19 di Thailand, negara yang bergantung kepada pelancongan.
Pergolakan politik sekarang ini di Thailand telah menjejas ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara, dengan agensi Fitch Ratings pada 24 September menyemak semula prospek Thailand kepada “negatif” daripada “stabil”.
Flitch Rating membuat penilaian itu dengan memetik peningkatan risiko kepada kewangan awam di tengah-tengah ketidaktentuan politik yang berterusan.
Encik Anutin menghadapi tugas yang sukar untuk memulihkan ekonomi yang bergelut dengan tarif Amerika Syarikat, hutang isi rumah yang tinggi dan penggunaan domestik yang lemah.
Kerajaan Thailand merancang langkah untuk menangani isu ekonomi termasuk mengurangkan kos sara hidup, dan menangani penurunan harga produk ladang dengan memberi sokongan kepada petani, katanya pada sidang akhbar.
Encik Anutin selanjutnya berkata kerajaannya mempunyai dasar yang jelas untuk tidak menyokong perniagaan melibatkan perjudian, menolak kompleks hiburan gaya kasino dan menghalalkan perjudian dalam talian. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg