BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, dijangka memberi arahan tambahan dalam mesyuarat kabinet pada 28 Januari untuk menangani masalah jerebu yang semakin memburuk, menurut jurucakap kerajaan, Encik Jirayu Houngsub.
Isu pencemaran PM2.5 akan menjadi fokus utama mesyuarat tersebut. Perdana Menteri Paetongtarn, yang baru pulang dari Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, menekankan bahawa krisis pencemaran ini melangkaui sempadan negara.
Beliau turut meminta Menteri Luar Negeri, Encik Maris Sangiampongsa, untuk berbincang dengan Asean bagi mencari kerjasama serantau di bawah kerangka sedia ada.
Menurut Encik Jirayu, mesyuarat kabinet akan menilai langkah-langkah yang telah diambil oleh pelbagai kementerian sejak Oktober 2024.
Agensi utama seperti Jabatan Kawalan Pencemaran, Agensi Pembangunan Teknologi Angkasa dan Geo-Informatik (Gistda), serta Kementerian Perindustrian akan membentangkan kemajuan mereka dalam menangani krisis jerebu ini.
Perdana Menteri Thailand dijangka memberi arahan tambahan, dengan penekanan terhadap pengurusan kebakaran hutan di taman negara dan aktiviti pembakaran sisa pertanian.
Di Bangkok dan kawasan sekitarnya, tanggungjawab akan diberikan kepada Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), Jabatan Pengangkutan Darat, Polis Diraja Thailand, dan Kementerian Dalam Negeri untuk mengurangkan pencemaran habuk.
Bagi wilayah lain, Jawatankuasa Pencegahan dan Pengurusan Bencana Nasional akan memberi tumpuan kepada kawasan yang terjejas teruk akibat kebakaran hutan dan pembakaran terbuka.
Beberapa wilayah seperti Chiang Mai, yang telah mencatat kemajuan dalam meningkatkan kualiti udara, akan diminta berkongsi strategi mereka agar wilayah lain dapat mencontohi pendekatan tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Encik Anutin Charnvirakul, yang juga mengetuai jawatankuasa tersebut, akan mempengerusikan mesyuarat pada 29 Januari untuk menilai tindakan yang telah diambil dan membincangkan langkah tambahan bagi menghadapi kecemasan lain.
Encik Anutin, yang melakukan lawatan ke Chiang Mai pada 27 Januari untuk memantau pengurusan kebakaran hutan, menyatakan bahawa kerajaan sedang memperhebat usaha menangani krisis jerebu ini. Beliau menegaskan bahawa aktiviti manusia, terutama perubahan dalam amalan pertanian, adalah penyebab utama pencemaran.
“Thailand menghadapi bencana alam setiap tahun. Ia bermula dengan jerebu, diikuti kemarau, banjir, dan cuaca sejuk. Kita tidak boleh terus hidup begini. Pencegahan adalah kunci, dan langkah pertama ialah menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
Encik Anutin juga menyatakan bahawa masalah ini memberi kesan negatif terhadap kesihatan, alam sekitar, dan ekonomi pelancongan negara. Kementerian Buruh dan Kementerian Kesihatan Awam telah menyuarakan kebimbangan mereka berhubung pencemaran habuk yang berbahaya dan memberi jaminan bahawa usaha sedang dipertingkatkan untuk menangani isu ini.
Di kawasan berisiko tinggi, penduduk digesa memakai pelitup muka ketika berada di luar. Pekerja yang jatuh sakit boleh mendapatkan rawatan di hospital terdekat dan menghubungi hospital di bawah skim keselamatan sosial mereka.
Menurut Kementerian Kesihatan Awam, pelitup muka sedang diedarkan kepada kumpulan yang terjejas di kawasan dengan tahap pencemaran yang tinggi. Bekalan mencukupi telah disediakan, termasuk 7.3 juta pelitup muka pembedahan dan lebih 600,000 pelitup muka N95.
Kerajaan juga menyeru keturunan Cina di Thailand untuk menggunakan kertas digital sebagai ganti pembakaran kertas tradisional sempena Tahun Baru Cina, bagi mengurangkan pencemaran udara. Sementara itu, pengangkutan awam di Bangkok disediakan secara percuma selama seminggu bermula 25 Januari, sebagai usaha mengurangkan trafik dan jerebu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg