SHAH ALAM (Selangor): Misteri air berwarna merah jambu di Sungai Kabul, Beranang, dekat Shah Alam, Selangor, terungkai selepas ia dikesan berpunca daripada pelepasan efluen (sisa buangan cecair) dari sebuah kilang kitar semula memproses plastik.
Pencemaran sepanjang 300 meter berjaya dikesan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor kira-kira 7 malam, 15 Januari, sebaik siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu.
Pengarah JAS Selangor, Cik Nor Aziah Jaafar, berkata sepasukan anggota dan pegawai telah digerakkan ke tempat kejadian dan menemui aliran air berwarna merah jambu yang memasuki Sungai Kabul.
Katanya, siasatan dan pemeriksaan lanjut kemudian mendapati ia berpunca daripada sebuah kilang kitar semula plastik yang terletak berhampiran aliran itu.
“Pemerhatian mendapati premis tidak beroperasi pada malam sebelumnya dan tiada pekerja di kawasan kilang. JAS hanya diiringi wakil premis yang merupakan lelaki berusia 50-an tahun sepanjang siasatan.
“Berdasarkan pengakuan awal, pihak premis menyatakan terdapat insiden pelepasan sisa buangan cecair yang tidak disengajakan daripada proses kilangnya,” katanya, lapor Kosmo!.
Cik Nor Aziah memberitahu pemeriksaan tertumpu kepada kawasan penstoran bahan mentah, pembuatan, loji rawatan sisa buangan cecair dan penstoran sisa pukal.
Dua sampel telah diambil daripada premis untuk analisa Jabatan Kimia Malaysia.
“Bagi mencegah pencemaran, Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(a) (1) AKAS 1974 telah dibuat terhadap kilang itu,” katanya.
Lembaga Urus Air Selangor (Luas) yang turut terlibat dalam siasatan menemukan paip disyaki disambung tanpa kebenaran susulan siasatan kejadian air Sungai Kabul berubah warna merah jambu itu.
Menerusi hantaran di Facebook Luas, pihaknya juga mengesan aliran air berwarna merah jambu keluar daripada paip berkenaan yang masuk ke alur buatan dan seterusnya ke Sungai Kabul.
Tindakan penyelarasan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) diambil untuk penutupan segera paip yang belum dikenal pasti punca alirannya.
“Ini bagi kurangkan risiko pencemaran merebak lebih teruk ke Sungai Kabul, Sungai Beranang dan seterusnya Sungai Semenyih,” kata Luas yang menambah bahawa kerja pembersihan oleh premis terbabit sudah selesai dilaksanakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg