Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong telah mengirimkan surat kepada Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi untuk menyampaikan ucapan takziah atas pemergian mantan Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh yang meninggal dunia baru-baru ini.
Dalam suratnya yang dikirimkan pada 28 Disember, Encik Wong mengenang sumbangan Dr Singh yang telah membentuk semula ekonomi India, memperkukuh hubungan Singapura bersama India serta penglibatan pentingnya bersama Asean.
Dr Singh meninggal dunia pada 26 Disember pada usia 92 tahun.
Encik Wong menyifatkan Dr Singh sebagai seorang negarawan yang telah melakar semula dan membuka ekonomi India menerusi visi dan keazamannya, sekali gus membuka jalan bagi pertumbuhan hebat India sebagai pesaing penting serantau mahupun global.
“Hubungan Singapura-India juga meluas dengan banyak semasa di bawah kepimpinan Dr Singh.
“Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (Ceca) kami yang merupakan detik penting ditandatangani sewaktu beliau memangku jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Ia satu pencapaian bagi hubungan kami dan menetapkan asas untuk kerjasama ekonomi kukuh yang kita nikmati hari ini,” ujarnya.
Di samping itu, Dr Singh memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan India bersama Asean.
Kepimpinannya menyaksikan penglibatan India dalam Sidang Puncak Asia Timur pada 2005 di samping menjadi penyokong aktif bagi usaha Asean untuk membina prasarana serantau yang lebih mantap, kata Encik Wong.
Seiring itu, Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong turut memperingati sumbangan Dr Singh dalam membuka jalan bagi Singapura dan India memperkukuh hubungan dua hala dan memperdalam kerjasama.
Ini termasuk memperkenalkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) seperti Ceca, bagi merangsang kerjasama ekonomi kedua-dua negara, ujar beliau lagi.
Meluahkan ucapan takziah ke atas pemergian Dr Singh di Facebook pada 28 Disember, Encik Lee berkata Dr Singh akan sentiasa dikenang atas sifatnya yang mesra, budi baiknya serta persahabatan yang beliau telah jalin bersama Singapura.
“Singapura dan India mempunyai hubungan yang sudah terjalin buat tempoh yang lama. Sebagai Perdana Menteri (waktu India dipimpin Dr Singh), saya bekerjasama dengan beliau untuk memperkukuh hubungan dua hala dan meluaskan kerjasama.
“Bersama-sama, kami mencapai detik penting Ceca yang merangsang kerjasama ekonomi kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.
Malah, sewaktu kunjungan rasmi ke Singapura pada 2011, Dr Singh menyifatkannya sebagai pembuka jalan bagi hubungan India dengan Singapura yang membawa kepada perubahan strategik dasar ekonomi dan asing India.
Mengulas lanjut, Encik Lee menjelaskan bagaimana Dr Singh telah memainkan peranan dalam menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran rantau Asean, termasuk semasa mewakili India di Sidang Puncak Asean.
Encik Lee berkata beliau telah bersua muka beberapa kali bersama Dr Singh, dengan yang terakhir pada 2018 ketika pemimpin Asean mengunjungi New Delhi untuk Hari Republik.
Encik Lee, yang sudah mengenali Dr Singh sejak mereka berdua memangku jawatan Menteri Kewangan, menggelar Dr Singh sebagai “arkitek pembaruan” yang telah membantu mengubah India menjadi kuasa ekonomi besar.
“Beliau... membuka ekonomi India sebagai menteri kewangan dan teruskan dengan pembaruan lanjut setelah menjadi PM (perdana menteri) pada 2004, membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini sehinggakan ia berjaya mengeluarkan berjuta-juta rakyat daripada kemiskinan,” ujarnya.
Dengan penuh hiba, Encik Lee berkata beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Dr Singh serta rakyat India yang kehilangan tokoh yang berkhidmat untuk negaranya dengan rendah hati dan integriti.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg