Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PN tumpu pada isu penting rakyat, bukan isu kaum, agama, raja: Muhyiddin

Jun 23, 2023 | 2:27 PM
FOKUS PADA ISU PENTING: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Seri  Muhyiddin Yassin (kiri) menyatakan gabungan parti tersebut tidak akan mainkan isu agama, kaum dan raja tetapi pada  isu-isu melibatkan rakyat seperti kos sara hidup.
FOKUS PADA ISU PENTING: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Seri Muhyiddin Yassin (kiri) menyatakan gabungan parti tersebut tidak akan mainkan isu agama, kaum dan raja tetapi pada  isu-isu melibatkan rakyat seperti kos sara hidup. - Foto ST

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak akan memainkan isu 3R (kaum, agama dan raja) untuk meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya negeri akan datang, kata pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan tumpuan sebaliknya akan diberikan kepada isu-isu penting melibatkan rakyat seperti kos sara hidup.

“Agenda kami sentiasa jelas, kami tidak menumpukan kepada isu-isu itu tetapi kepada perkara yang penting kepada rakyat. Lebih-lebih lagi sekarang, apabila pengundi berasa kerajaan perpaduan tidak berbuat banyak untuk mereka.

“Malah, ada yang mendakwa kerajaan gagal melaksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto mereka.

“Ia bukan soal kaum dan agama, kita melayan semua rakyat Malaysia secara saksama tetapi kebimbangan sekarang ialah bagaimana kita menangani isu yang dihadapi rakyat seperti kos sara hidup dan inflasi.

“Inilah mesej utama yang ingin kami sampaikan dalam kempen kami,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PN pada Khamis.

Turut hadir ialah Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau.

Sebelum ini, gabungan itu telah dikritik kerana menggunakan isu 3R sebagai sebahagian daripada agenda kempennya terutama di kawasan majoriti Melayu semasa pilihan raya.

Tan Sri Muhyiddin turut mengumumkan bahawa PN akan bertanding di kesemua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Negri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Beliau berkata, nama calon akan diumumkan di peringkat negeri kelak.

Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, PN kini dalam peringkat akhir melengkapkan manifesto bagi enam pilihan raya negeri yang juga akan diumumkan di peringkat negeri. – The Star.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg