BANGKOK: Polis Bangkok sedang memburu seorang lelaki warga Singapura berusia 32 tahun selepas seorang wanita Thailand yang dipercayai teman wanitanya ditemui mati dalam sebuah bilik hotel di pusat bandar pada 26 Mac.
Pegawai dari Balai Polis Thonglor di Bangkok menerima laporan mengenai mayat yang ditemui di sebuah hotel 50 tingkat di daerah Watthana pada 6.20 petang pada hari yang sama, menurut media Thailand, Khaosod English.
Apabila mereka tiba di bilik hotel tersebut, pintunya tidak berkunci dan wanita berusia 30 tahun dari wilayah timur laut Thailand itu ditemui dalam keadaan telanjang dalam tandas, dengan badannya dibalut selimut dan cadar.
Khaosod turut melaporkan bahawa terdapat kesan luka dan darah pada kepala mangsa.
Dua rakan mangsa sebelum itu melaporkan kepada polis tempatan bahawa mereka tidak dapat menghubungi mangsa sejak malam 24 Mac.
Seorang daripada mereka menemui mayat tersebut, manakala seorang lagi membuat laporan pada 26 Mac.
Menurut akhbar The Nation, penyiasat turut mendapati jam tangan mewah dan beg tangan milik mangsa hilang.
Rakan-rakan mangsa memberitahu bahawa mangsa sedang berpacaran dengan seorang lelaki warga Singapura.
Walaupun pasangan itu kelihatan bahagia dalam catatan di media sosial, mangsa pernah mengadu sering bertengkar dan didera oleh teman lelakinya, kata rakan-rakan mangsa.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada hotel menunjukkan mangsa dan seorang lelaki meninggalkan bilik pada 6.42 petang pada 23 Mac.
Lelaki itu menghantar mangsa kembali ke bilik pada 9.17 malam dan keluar sendirian.
Pada 24 Mac, 12.12 tengah malam, lelaki itu kembali ke bilik tersebut dan akhirnya meninggalkan hotel menaiki kereta hitam sambil membawa bagasi, pada 25 Mac, 3.15 petang.
Polis mendapati kenderaan tersebut didaftarkan di bawah nama seorang individu yang telah disahkan meninggal dunia, menurut akhbar The Nation.
Pegawai dari Balai Polis Thonglor masih menjejaki suspek, lapor Khaosod. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg