Seorang lelaki didakwa atas kesalahan mencuri pada 18 Mac selepas didakwa mencuri kad kredit dan wang tunai dalam pelbagai mata wang bernilai lebih $200 daripada seorang penumpang lain dalam penerbangan Scoot.
Warga China, Zhang Kun, 51 tahun, didakwa mengambil barang-barang tersebut dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Singapura sekitar tengah malam pada 17 Mac.
Namun, pada 18 Mac, Zhang mengaku tidak bersalah dan meminta bukti atas dakwaan kesalahan itu.
Sidang praperbicaraan dijadualkan berlangsung pada 27 Mac, lapor The Straits Times.
Dalam kenyataan awal, polis memaklumkan bahawa Zhang didakwa mengambil beg mangsa dari ruang simpanan di atas tempat duduk ketika mangsa tiada di tempat duduknya.
Dia didakwa mencuri barangan tersebut selepas menggeledah beg mangsa sebelum mengembalikannya ke ruang simpanan.
Seorang saksi, yang mengesyaki Zhang melakukan kecurian, segera memaklumkan kepada mangsa, yang kemudian mendapati wang tunai dan kad kreditnya hilang.
Selepas pesawat mendarat di Lapangan Terbang Changi, mangsa mencari Zhang berdasarkan keterangan saksi sambil menghubungi polis.
Mangsa berjaya mengesan Zhang di kawasan transit, dan pegawai polis menahannya tidak lama kemudian.
Kebelakangan ini, kes kecurian dalam pesawat didapati meningkat.
Pada 25 Februari, seorang warga China, Zhang Youqi, 30 tahun, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri.
Dia berada dalam penerbangan Scoot dari Korea Selatan ke Singapura pada awal Februari apabila dia merancang menggeledah barangan seorang wanita selepas melihatnya membawa beg berjenama.
Dia sempat melakukannya sebelum pesawat itu mendarat dan mengambil AS$885 ($1,180) dari beg wanita tersebut.
Bagaimanapun, dia tertangkap ketika cuba mengembalikan beg itu ke ruang simpanan di atas tempat duduk.
Dalam salah satu kes paling serius di dalam pesawat, seorang warga China mencuri kira-kira $120,000 dalam bentuk wang tunai daripada seorang penumpang dalam penerbangan Singapore Airlines pada Mac 2024.
Dia dijatuhi hukuman penjara 30 bulan pada Jun 2024.
Peng Hui, ketika itu berusia 54 tahun, mengaku bersalah atas empat tuduhan, termasuk satu kesalahan mencuri.
Mangsa merupakan tukang emas dari Singapura yang telah menghadiri dua pameran perdagangan di Bangkok dan Hong Kong.
Bagi kesalahan mencuri, pesalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan didenda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg