Sambutan Tahun Baru Cina, Ramadan papar masyarakat majmuk Indonesia
Sambutan Tahun Baru Cina, Ramadan papar masyarakat majmuk Indonesia
Puncak acara Tahun Baru Cina pada 28 Feb akan dimulakan dengan majlis berbuka puasa bersama, dan solat tarawih
JAKARTA: Tahun 2026 menjadi detik penting dalam landskap sosial dan budaya Indonesia apabila perayaan besar keagamaan – Tahun Baru Cina atau lebih dikenali sebagai imlek, Ramadan berlangsung dalam tempoh yang saling berdekatan.
Keadaan itu bukan sekadar kebetulan dalam kalendar, malah mencerminkan realiti kemajmukan Indonesia yang terus diuji dan dirai melalui amalan toleransi, akulturasi budaya serta dasar keterangkuman negara.
Penganjuran Pesta Imlek 2026 muncul sebagai satu eksperimen sosial dan budaya yang penting, bukan sahaja sebagai sambutan Tahun Baru Imlek, malah sebagai wadah yang mengukuhkan keharmonian antara agama dengan budaya di Indonesia.
Keunikan Pesta Imlek 2026 terletak pada penyesuaian jadualnya yang berlangsung seiring dengan bulan suci Ramadan.
Ketua Jawatankuasa Penganjur Pesta Imlek 2026, Cik Irene Umar, menjelaskan bahawa penganjur secara sedar menyelaraskan acara puncak agar tidak bercanggah dengan ibadah umat Islam.
“Puncak acara pada 28 Februari akan dimulakan dengan majlis berbuka puasa bersama, dan solat tarawih turut dimasukkan dalam rangkaian rasmi supaya tiada pihak menjadikan imlek sebagai alasan untuk meninggalkan ibadah,” katanya dalam sidang media di Jakarta.
Pendekatan itu bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan satu bentuk empati sosial yang jarang ditonjolkan dalam penganjuran perayaan besar.
Ia menandakan peralihan daripada toleransi pasif kepada toleransi aktif di mana satu masyarakat bukan sahaja menghormati amalan agama lain, malah, secara sedar menyediakan ruang bagi amalan tersebut diraikan bersama.
Menurut Cik Irene, persamaan nilai antara imlek dengan Ramadan seperti doa, silaturahim, jamuan keluarga dan amalan kebajikan menjadi asas kukuh kepada pendekatan itu.
Manifestasi pertembungan budaya itu turut dizahirkan melalui sajian Ketupat Cap Go Meh, yang melambangkan pertemuan tradisi Tionghoa dengan warisan budaya Nusantara.
Pesta Imlek 2026 digerakkan melalui empat teras utama yang membentuk kerangka ideologi perayaannya.
Pertama, budaya sebagai jambatan, yang menghubungkan tradisi Tionghoa dengan nilai-nilai tempatan Nusantara.
Kedua, keterangkuman, memastikan perayaan itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar etnik atau agama.
Ketiga, manfaat ruang awam, dengan bandar dijadikan ruang pertemuan sosial.
Keempat, kreativiti, yang menggabungkan warisan tradisi dengan inovasi moden.
Pendekatan itu menjadikan imlek bukan sekadar perayaan masyarakat Tionghoa, malah, sebahagian daripada kalendar kebangsaan yang dikongsi bersama.
Ia selari dengan semangat Bhinneka Tunggal Ika, yang tidak sekadar berupa cogan kata, malah, diterjemahkan melalui amalan sosial yang membina, ujarnya.
Sebagai Wakil Menteri Ekonomi Kreatif, Cik Irene menegaskan bahawa kedekatan imlek, Ramadan dan Natal pada 2026 mencerminkan wajah Indonesia yang bersifat terangkum.
“Selepas Natal, kita menyambut imlek dan seterusnya Ramadan dalam bulan yang sama.
“Ini adalah waktu dan detik yang penting menunjukkan kepada dunia bahawa Indonesia adalah negara yang rukun dan terangkum,” katanya ketika menghadiri Bakti Sosial Imlek 2026 di Glodok.
Pesta Imlek berlangsung dari 17 Februari hingga 3 Mac, bertepatan dengan Ramadan.
Pada 2026, imlek juga jatuh berdekatan hujung minggu dan cuti sekolah, memberi ruang kepada masyarakat untuk menyertai perayaan lintas budaya secara lebih meluas.
Pemerintah turut mengangkat imlek sebagai sebahagian daripada agenda budaya nasional, dengan pelancaran tema dan logo rasmi, ‘Harmoni Imlek Nusantara’, yang menegaskan imlek sebagai perayaan kebangsaan, bukan perayaan eksklusif sesuatu etnik.
Di Jakarta sahaja, sebanyak 93 lokasi tanglung akan diterangi, dengan acara kemuncak berlangsung di Lapangan Banteng.
Namun, Imlek Festival 2026 tidak terhad kepada ibu kota. Ia turut diaktifkan secara nasional di bandar seperti Singkawang, Palembang, Solo, Semarang, Manado, Makassar, Surabaya, Medan, Bogor, Batam dan Pontianak.
Setiap bandar menampilkan ekspresi imlek yang berbeza, mencerminkan identiti tempatan masing-masing.
Singkawang menonjolkan tradisi Cap Go Meh yang ikonik, Solo mengetengahkan pertembungan budaya Jawa –Tionghoa, manakala Jakarta dan Medan meraikan imlek dalam kerangka bandar kosmopolitan.
Dimensi sosial festival itu turut diperkukuh melalui program bakti sosial, termasuk kerjasama dengan Lions Club District 307 A1, yang menyalurkan 1,000 paket bantuan kepada warga memerlukan.
Paket tersebut mengandungi barangan keperluan asas dan produk kesihatan.
Gabenor Lions Club District 307 A1, Encik Hastuti Boediwibowo Kresna, menegaskan bahawa inisiatif tersebut membawa mesej perpaduan.
“Kami mahu menjahit kerukunan antara agama dengan perbezaan suku menjadi satu harmoni untuk Indonesia. Agama dan budaya seharusnya menyatukan, bukan memecahbelahkan,” katanya.
Pendekatan itu memperlihatkan bagaimana perayaan kebudayaan boleh berfungsi sebagai mekanisme pembinaan modal sosial, terutama dalam masyarakat yang berdepan tekanan sejagat dan cabaran ekonomi.
Di peringkat tempatan, Kota Singkawang di Kalimantan Barat turut muncul sebagai contoh penting.
Wali Kotanya, Encik Tjhai Chui Mie, menyifatkan pertembungan Imlek dan Ramadan sebagai peluang memperkukuh kebersamaan.
“Tahun ini (2026) istimewa kerana imlek beriringan dengan Ramadan. Pasar Juadah akan diurus dengan baik supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati suasana kebersamaan,” katanya.
Pemerintah bandar optimis sinergi budaya dan agama itu bukan sahaja mengukuhkan persaudaraan, bahkan turut menjadi pemangkin kepada ekonomi kreatif dan pelancongan yang mampan.
Imlek Festival 2026 memperlihatkan bahawa toleransi bukan sekadar retorik politik atau simbol upacara, malah, satu amalan sosial yang memerlukan perancangan, empati dan kesediaan untuk berkongsi ruang.
Dalam dunia yang kian terpolarisasi oleh identiti dan kepercayaan, pendekatan Indonesia pada 2026 menawarkan satu naratif alternatif bahawa kepelbagaian boleh menjadi sumber kekuatan, bukan perpecahan.
Seperti yang dirumuskan oleh Cik Irene: “Pesta Imlek 2026 adalah milik bersama. Bertepatan dengan Ramadan, ia mencerminkan Indonesia yang rukun, terangkum dan saling menghormati dalam beragama.” – Agensi berita.

