Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis dikerah selepas barisan stesen minyak di Sumatera cecah 13km
Polis dikerah selepas barisan stesen minyak di Sumatera cecah 13km
Polis dikerah selepas barisan stesen minyak di Sumatera cecah 13km
MEDAN: Polis Sumatera Utara mengerahkan ratusan anggota ke stesen minyak di serata wilayah itu bagi mengawal keadaan susulan krisis bekalan bahan api yang berlarutan sejak lebih seminggu yang menyaksikan barisan kenderaan mencecah 13 kilometer di beberapa lokasi.
Lebih 780 anggota polis ditempatkan di 325 stesen minyak secara bergilir selama 24 jam bagi memastikan keselamatan awam, mengawal aliran trafik dan mengelakkan kekecohan ketika orang ramai berebut mendapatkan bekalan petrol dan diesel.
Selain mengawal stesen minyak, polis turut mengiringi lori tangki Pertamina bagi mempercepatkan penghantaran bahan api ke kawasan yang terjejas.
Jurucakap Polis Sumatera Utara, Pesuruhjaya Kanan Ferry Walintukan, berkata kehadiran anggota polis bertujuan memastikan proses pembelian bahan api berjalan lancar dan teratur.
“Ratusan anggota ditempatkan di stesen minyak sepanjang masa bagi mengelakkan sebarang gangguan keselamatan atau insiden yang boleh berlaku akibat kekurangan bekalan bahan api,” katanya.
Ketua Biro Operasi Polis Sumatera Utara, Pesuruhjaya Kanan Dwi Tunggal Jaladri, berkata langkah itu juga bertujuan memastikan bekalan dapat diagihkan dengan lebih cepat kepada pengguna.
“Kami mahu mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, terutama di stesen minyak yang mempunyai barisan panjang. Orang ramai perlu mendapatkan bahan api secara teratur tanpa mengganggu kelancaran lalu lintas,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan bahan api di peringkat nasional masih mencukupi.
“Masalah utama ialah gangguan dalam sistem pengedaran, bukannya kekurangan stok,” katanya.
Krisis itu menjejas beberapa wilayah di Sumatera Utara, terutama di Medan dan Langkat, selain turut merebak ke Aceh.
Di Langkat, barisan kenderaan dilaporkan memanjang sejauh kira-kira 13 kilometer dari sebuah stesen minyak di Wampu hingga ke Tanjung Pura, membabitkan ribuan kereta persendirian, bas antara bandar dan lori logistik.
Sebahagian kenderaan turut kehabisan bahan api ketika masih menunggu giliran untuk mengisi minyak.
Encik Misno Adi, penduduk Langkat, berkata beliau gagal mendapatkan diesel walaupun beratur selama lebih lima jam.
“Saya mula beratur sebelum subuh. Selepas menunggu lebih tiga jam, stesen minyak kehabisan bekalan. Saya pulang dan datang semula apabila dimaklumkan bekalan sudah tiba, tetapi selepas dua jam menunggu, minyak habis lagi ketika hanya tinggal dua kenderaan di hadapan saya,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Encik Haris Fadilah, berkata motosikalnya kehabisan petrol ketika masih berada dalam barisan.
“Saya menunggu sejak awal pagi tetapi sehingga jam 9 pagi masih belum sampai ke pam minyak. Barisan terlalu panjang sehingga motosikal saya kehabisan petrol,” katanya.
Di Medan, pemandu Encik Surya Efendi berharap pemerintah terus memperkukuh usaha bagi menangani krisis itu dengan lebih berkesan.
“Bahan api sudah sukar diperoleh lebih seminggu tetapi keadaan masih belum pulih. Kami menghabiskan berjam-jam hanya untuk mendapatkan minyak. Bagaimana kami hendak bekerja?” katanya.
Krisis sama turut dirasai di Aceh, khususnya di Aceh Tamiang dan Subulussalam, apabila ramai pemandu terpaksa bermalam di stesen minyak untuk mendapatkan diesel subsidi Biosolar dan petrol subsidi Pertalite.
Jurucakap pemerintah Aceh, Nurlis Efendi, berkata kekurangan bekalan itu turut menjejas sektor pengangkutan darat.
“Banyak lori logistik yang membawa barangan ke Sumatera Utara tidak dapat beroperasi kerana tiada bahan api,” katanya.
Susulan gangguan itu, PT Pertamina Patra Niaga mengambil beberapa langkah kecemasan bagi menstabilkan bekalan, termasuk mengendalikan Terminal Bersepadu Medan selama 24 jam, mengerahkan 30 lori tangki tambahan serta menambah tenaga kerja pengedaran.
Pengurus Komunikasi, Hubungan dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pertamina Patra Niaga Sumatera Utara, Fahrougi Andriani Sumampouw, berkata bekalan ke sesetengah stesen minyak dikurangkan buat sementara waktu bagi membolehkan bahan api diagihkan ke kawasan yang berada pada tahap kritikal.
“Kami akan menghantar baki kuota ke stesen minyak yang terlibat sebaik keadaan kembali stabil. Corak pengagihan ini bertujuan memastikan bekalan dapat dinikmati secara lebih seimbang,” katanya.
Beliau turut mengesahkan lebih 100 pemandu lori tangki telah diberhentikan sepanjang enam bulan pertama tahun ini selepas didapati melanggar prosedur operasi standard, termasuk mencampurkan bahan api.
Keadaan itu menyebabkan kekurangan pemandu lori tangki, sekali gus mengganggu proses penghantaran.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Pertamina kini menggunakan pemandu dari terminal lain selain mendapatkan bantuan anggota Kor Bekalan dan Pengangkutan Tentera Darat Indonesia.
Namun, Gabenor Sumatera Utara, Encik Bobby Nasution, berkata gangguan bekalan berpunca daripada masalah penghantaran selepas pemberhentian besar-besaran pemandu lori tangki, bukannya disebabkan peningkatan penggunaan seperti yang dinyatakan Pertamina.
Menurut beliau, pemerintah wilayah kini bekerjasama dengan tentera dan polis bagi menyediakan pemandu sementara supaya penghantaran bahan api dapat diteruskan tanpa gangguan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Yuliot Tanjung, menegaskan stok bahan api negara masih mencukupi dan krisis yang berlaku hanyalah berpunca daripada masalah teknikal dalam rantaian pengedaran.
Beliau berkata pasukan khas telah dihantar ke lapangan bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan serta mempercepatkan pemulihan bekalan di kawasan yang terjejas. – Agensi berita.

