JAKARTA: Polis Indonesia telah menggeledah pejabat PT Megaspeed International Indonesia, cabang tempatan firma awan Singapura, Megaspeed International.

Serbuan pada awal 2026 itu adalah sebahagian daripada siasatan menyusuli permohonan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat untuk mengesan cip Nvidia yang dibeli oleh Megaspeed, menurut seorang pegawai kanan pemerintah Indonesia yang enggan namanya disiarkan kerana beliau tidak dibenarkan bercakap kepada media.

Pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (Bareskrim), Polis Negara Indonesia (INP) yang memeriksa premis berkenaan menemui rak pelayan atau server di lokasi tersebut, namun tiada unit pemprosesan grafik (GPU) dijumpai, tambah sumber itu.

Rak-rak tersebut kelihatan seperti tidak pernah dibuka bungkusannya atau digunakan, sekali gus menunjukkan cip berkenaan tidak pernah dipasang di situ.

Serbuan yang dijalankan sebelum skandal melibatkan ketua pegawai eksekutif (CEO) Nvidia, Encik Jensen Huang, terdedah baru-baru ini, merupakan tindakan penguatkuasaan pertama di Indonesia berkaitan kes tersebut.

Pegawai itu mendakwa bahawa kebanyakan perkakasan Nvidia yang dibeli oleh Megaspeed berkemungkinan besar dihantar ke Indonesia.

Penyiasat, tambahnya, percaya sebahagian besar daripadanya kemudian dihantar ke China, berkemungkinan menggunakan jet peribadi.

Inspektor Jeneral Untung Widyatmoko, ketua Bahagian Perhubungan Antarabangsa INP, telah ditanya The Straits Times (ST) mengenai jumlah GPU Nvidia yang mungkin telah dihantar melalui Indonesia ke China dan sama ada ejen FBI berada di Indonesia untuk membantu siasatan ini, tetapi beliau enggan mengulas dalam balasan mesej teks WhatsApp kepada ST pada 13 November.

PT Megaspeed International Indonesia mempunyai alamat berdaftar di tingkat lima bangunan Cyber 1 di No. 8 Jalan Kuningan Barat di Jakarta Selatan.

Namun, semakan ST mendapati PT Megaspeed tiada dalam senarai penyewa bangunan tersebut. Seorang penyambut tetamu di situ menyatakan PT Megaspeed sebaliknya beroperasi dari pejabat PT MettaDC Teknologi Indonesia (MettaDC), sebuah pusat data kecergasan buatan (AI) Indonesia.

Amerika yang melancarkan penyiasatan, mengesyaki bekas pengarah urusan Megaspeed, Cik Alice Huang, menyampaikan maklumat kepada Beijing, dan beliau mempunyai hubungan dengan Encik Huang, yang meletak jawatan pada 12 November.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti