Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Johor guna bas sekat ‘mat rempit’ larikan diri

Ketua polis JB pertahan tindakan kerana undang-undang perboleh pelbagai kaedah diambil cegah jenayah
Sep 1, 2024 | 2:00 PM
Video dari sebuiah kereta merakamkan dua bas digunakan polis bagi menghalang sekumpulan ‘Mat Rempit’ melarikan diri di sebuah simpang lampu isyarat di Jalan Skudai berdekatan Danga Bay.
Video dari sebuiah kereta merakamkan dua bas digunakan polis bagi menghalang sekumpulan ‘Mat Rempit’ melarikan diri di sebuah simpang lampu isyarat di Jalan Skudai berdekatan Danga Bay. - Foto THE STAR

JOHOR BAHRU: Percubaan sekumpulan ‘mat rempit’ meloloskan diri daripada sekatan jalan raya di Johor Bahru digagalkan polis, yang menggunakan dua bas untuk menghalang laluan mereka.

Sebuah video rakaman dari sebuah kereta di tempat kejadian menunjukkan adegan dramatik itu: pegawai polis yang menaiki motosikal dilihat memintas ‘mat rempit’ – julukan bagi penunggang yang berlumba motosikal secara haram – di sebuah simpang lampu isyarat di Jalan Skudai berdekatan Danga Bay.

Seorang penunggang motosikal cuba melanggar seorang pegawai polis dalam percubaannya melarikan diri dan seorang lagi dapat meloloskan diri sebelum kedua-dua bas itu memotong dan menyekat lorong jalan raya, lapor The Star.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (AC) Raub Selamat, mempertahankan tindakan polis menggunakan bas itu dengan menyatakan dari sisi undang-undang polis dibenarkan menggunakan pelbagai kaedah untuk mencegah jenayah.

Beliau menambah bahawa operasi pada 26 dan 27 Ogos yang melibatkan pelbagai agensi itu adalah satu langkah mencegah jenayah dalam menangani kebimbangan orang ramai.

“Kita sebelum ini pernah melihat kejadian pegawai polis dilanggar oleh penunggang motosikal yang enggan berhenti di sekatan jalan raya.

“Keselamatan kakitangan saya dan pengguna jalan raya lain adalah keutamaan kami, sebab itu kami memutuskan menggunakan bas,” ujar AC Raub.

“Perlumbaan haram masih terkawal di kawasan ini tetapi kes kecurian motosikal dan pengubahsuaian haram semakin meningkat.

“Ini adalah salah satu sebab kami menjalankan operasi itu,” katanya.

Operasi tersebut melibatkan juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Bandaraya Johor Baru dan Jabatan Alam Sekitar Malaysia (DOE).

“Seramai 286 individu dan 257 kenderaan diperiksa. Daripada jumlah itu, kira-kira 115 motosikal disita di bagi pemeriksaan lanjut dan 153 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk memandu tanpa lesen dan pengubahsuaian haram kenderaan mereka.

“JPJ juga mengeluarkan 54 saman bagi pelbagai kesalahan, sementera DOE mengeluarkan 46 saman dan 52 notis pemeriksaan bagi kenderaan yang mempunyai bunyi ekzos yang kuat,” kata AC Raub.

Seorang lelaki warga Malaysia berusia 28 tahun ditangkap selepas didapati positif dadah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg