Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar: Pengadang di landasan tidak penuhi amalan terbaik industri

Struktur keras biasanya tidak dibenarkan dalam jarak sekitar 300 meter dari hujung landasan
Dec 31, 2024 | 12:10 PM
Anggota keluarga mangsa pilu pada 31 Disember semasa menatap lokasi nahas pesawat Jeju Air Boeing 737-800 yang terhempas dan terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 288 kilometer ke barat daya Seoul.
Anggota keluarga mangsa pilu pada 31 Disember semasa menatap lokasi nahas pesawat Jeju Air Boeing 737-800 yang terhempas dan terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 288 kilometer ke barat daya Seoul. - Foto AFP

SEOUL: Nahas pesawat Jeju Air Boeing 737-800 yang meragut 179 nyawa daripada 181 orang di dalamnya terus mencetuskan teori perdebatan mengenai punca sebenar kejadian.

Kapal terbang dilaporkan terbabas sebelum merempuh struktur pengadang konkrit, menyebabkan letupan besar dan kebakaran.

Sebelum nahas berlaku pada 29 Disember, menara kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan dilaporkan mengeluarkan amaran burung dan juruterbang pesawat memaklumkan bahawa pesawat mengalami “serangan burung” sebelum mengisytiharkan kecemasan.

Namun, pakar penerbangan menegaskan bahawa serangan burung sahaja mungkin bukan penyebab utama nahas itu.

Seorang pakar penerbangan berkata, “serangan burung mungkin mencetuskan situasi kecemasan, tetapi tidak cukup untuk menerangkan kenapa pesawat gagal dikawal sepenuhnya”.

Beberapa minit kemudian, juruterbang membuat panggilan kecemasan sebelum cuba melakukan pendaratan cemas dengan rakaman video menunjukkan pesawat itu mendarat di landasan tanpa mengaktifkan gear pendaratan.

Selain faktor burung, perhatian juga tertumpu pada struktur konkrit yang terletak hanya kira-kira 250 meter dari hujung landasan.

Pakar keselamatan penerbangan, Encik John Cox, menyatakan bahawa reka bentuk landasan tersebut tidak memenuhi amalan terbaik industri, yang biasanya tidak membenarkan struktur keras dalam jarak sekurang-kurangnya 300 meter dari hujung landasan.

“Pesawat itu kelihatan perlahan dan terkawal sebelum melanggar struktur konkrit. Ketika itulah ia bertukar menjadi tragedi besar,” ujar Encik Cox.

Rakaman video menunjukkan pesawat itu melanggar pengadang, menyebabkan ia terbakar.

Hanya dua mangsa yang juga kru syarikat penerbangan itu berjaya diselamatkan, selepas ditarik keluar dari ekor pesawat.

Siasatan mendalam kini sedang dijalankan dengan penglibatan pihak dari dalam dan luar negara, termasuk Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Boeing.

Kementerian Pengangkutan Korea Selatan memaklumkan bahawa kotak hitam pesawat telah ditemui, namun sebahagian komponennya rosak.

“Pakar kami sedang berusaha memulihkan data secepat mungkin,” kata Timbalan Menteri Penerbangan Awam, Encik Joo Jong-wan.

Presiden sementara Korea Selatan, Encik Choi Sang-mok, pada 30 Disember mengarahkan pemeriksaan keselamatan segera ke atas semua operasi penerbangan di negara itu.

Pemeriksaan terhadap 101 pesawat B737-800 milik syarikat penerbangan Korea dijadualkan selesai pada 3 Januari, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Muan akan ditutup sehingga 7 Januari.

Kementerian Pengangkutan turut memaklumkan bahawa pasukan penyiasat antarabangsa akan bertemu di Muan untuk membincangkan langkah seterusnya.

Nahas itu menimbulkan semula persoalan mengenai piawaian keselamatan di lapangan terbang dan pengurusan kecemasan penerbangan.

Ramai pihak kini menuntut perubahan segera bagi mengelakkan tragedi serupa daripada berulang.

“Keselamatan penerbangan perlu menjadi keutamaan dan semua pihak perlu menilai semula pendekatan mereka,” kata seorang pegawai keselamatan penerbangan.

Pada 31 Disember, Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan menyatakan mereka mempercepatkan proses pengecaman dengan menggunakan analisis DNA pantas.

Namun, lima mayat masih belum dikenal pasti.

Keluarga mangsa yang berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan mendesak pihak berkuasa agar mempercepatkan proses pengecaman dan memberikan maklumat lebih jelas mengenai kejadian tersebut.

Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata: “Kami hanya mahu tahu apakah yang sebenarnya berlaku dan mendapatkan kepastian mengenai nasib orang tersayang kami.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg