ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya seorang anggota polis terbunuh dan berpuluh lagi cedera di Pakistan sedang penyokong bekas perdana menteri, Imran Khan, yang dipenjarakan, bertempur dengan pasukan keselamatan di luar ibu kota Islamabad pada 25 November.
Pihak berkuasa telah menguatkuasakan langkah keselamatan selama dua hari untuk menyekat penunjuk perasaan, yang diseru Imran untuk berarak ke Parlimen bagi mengadakan bantahan bagi mendesak pembebasannya.
Menurut laporan, lebuh raya ke ibu kota itu telah diadang.
Pemerintah telah menggunakan kontena kapal untuk menyekat jalan dan jalan utama di Islamabad, dengan rondaan polis dan anggota separuh tentera mengenakan peralatan rusuhan.
Pegawai dan saksi berkata semua pengangkutan awam antara bandar dengan terminal juga telah ditutup di wilayah timur Punjab untuk menyekat pergerakan penunjuk perasaan, yang diketuai anggota parti Imran iaitu Parti Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI).
“Kami tidak akan biarkan mereka menyerbu ibu kota,” kata Menteri Penerangan Wilayah Punjab, Cik Uzma Bukhari, sambil menambah bahawa kira-kira 80 penyokong Imran telah diberkas.
Seorang pegawai polis maut akibat ditembak dan sekurang-kurangnya 70 yang lain cedera dalam pertempuran di luar Islamabad, katanya dalam satu sidang akhbar.
Terdapat laporan mengenai beberapa pertempuran di tempat lain di wilayah itu, tambah Cik Uzma.
Penyokong Imran berkata ramai anggotanya turut cedera.
Parti Imran menuduh pemerintah menggunakan kekerasan untuk menyekat penunjuk perasaan dan mendakwa telah menahan ratusan penyokong dan pemimpinnya.
“Malah mereka menembak peluru secara langsung,” kata salah seorang pembantu Imran, Encik Shaukat Yousafzai, kepada stesen penyiar, Geo News TV.
Perhimpunan di Islamabad telah diharamkan, kata polis dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa menutup semua sekolah di Islamabad dan bandar bersebelahan Rawalpindi, manakala perkhidmatan pemesejan Internet dan WhatsApp turut dikawal.
Bantahan yang disifatkan Imran sebagai “panggilan terakhir”, adalah salah satu daripada beberapa perhimpunan yang telah diadakan untuk membebaskannya sejak dia dipenjarakan pada Ogos 2023.
Bantahan terkini parti itu di Islamabad, pada awal Oktober, bertukar menjadi ganas.
Isteri ketiga Imran, Cik Bushra Bibi dan pembantunya Encik Ali Amin Gandapur, yang merupakan ketua menteri wilayah Khyber Pakhtunkhwa, mengetuai perarakan yang tiba di luar Islamabad pada waktu malam 24 November.
Imran menghadapi tuduhan rasuah sehingga menghasut keganasan, yang kesemuanya dinafikan Imran dan partinya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg