Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M’sia ambil keterangan 127 saksi kes tikam pelajar perempuan

Mangsa berusia 16 tahun maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, pada 14 Okt
Oct 18, 2025 | 4:34 PM
Tangkap layar daripada video di upacara menghormati pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam di sekolahnya di Bandar Utama.
Tangkap layar daripada video di upacara menghormati pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam di sekolahnya di Bandar Utama. - Foto FACEBOOK/AAPPLE WONG

KUALA LUMPUR: Seramai 127 saksi termasuk rakan suspek telah dirakam keterangan mereka setakat ini bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, pada 14 Oktober.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Shamsudin Mamat berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada bahagian patologi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Setakat ini kita masih menunggu laporan patologi. Kebiasaannya, laporan penuh boleh diperoleh dalam tempoh sebulan atau lebih awal, namun paling lama sekitar tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan pada 18 Oktober.

Beliau berkata suspek lelaki berusia 14 tahun yang juga pelajar peralihan masih direman hingga 21 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, media melaporkan pelajar perempuan berkenaan maut selepas ditikam di bahagian dada dan leher dalam kejadian di sekolahnya di Bandar Utama.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suspek, yang juga pelajar sekolah sama, telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Pada 15 Oktober, Ketua Polis Selangor Encik Shazeli Kahar dilaporkan berkata tikaman pada dada dan leher dikenal pasti menjadi punca kematian berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Jasad mangsa telah dituntut oleh keluarganya pada 7.30 pagi hari yang sama selepas proses bedah siasat selesai dilakukan di PPUM malam sebelumnya.

Pada hari sama juga, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan perintah tahanan reman tujuh hari terhadap pelajar lelaki terbabit bagi membantu siasatan kes itu.

Dalam video terdahulu oleh Buletin TV3, difahamkan pelajar perempuan itu mengalami beberapa tikaman di bahagian badan. Kejadian berlaku di tandas sekolah, iaitu tempat mangsa cuba bersembunyi.

Menurut saksi, rakan kepada mangsa yang berada berhampiran segera berlari mendapatkan guru disiplin untuk meminta bantuan.

“Guru itu kemudian bergegas ke tandas dan cuba menendang pintu. Selepas beberapa kali cubaan, akhirnya pintu berjaya dipecahkan, tetapi budak lelaki itu melarikan diri dan mula mengejar pelajar lain sambil memegang pisau,” katanya.

Katanya lagi, suasana menjadi panik apabila pelajar lelaki itu meluru masuk ke beberapa bilik darjah tingkatan satu dengan tangannya masih memegang senjata yang berlumuran darah.

Kekecohan itu hanya berakhir apabila abang kepada suspek dan beberapa guru berjaya menahannya serta merampas pisau berkenaan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg