Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis mula siasat kes peras ugut warga M’sia di konsert di Jakarta

Dec 27, 2024 | 12:14 PM
Konsert ‘Djakarta Warehouse Project’ (DWP) selama tiga hari di Jakarta International Expo yang dianjurkan oleh Ismaya Live, sebahagian daripada Ismaya Group, tamat pada 15 Disember dan merupakan antara festival muzik elektronik terbesar di Asia.
Konsert ‘Djakarta Warehouse Project’ (DWP) selama tiga hari di Jakarta International Expo yang dianjurkan oleh Ismaya Live, sebahagian daripada Ismaya Group, tamat pada 15 Disember dan merupakan antara festival muzik elektronik terbesar di Asia. - Foto INSTAGRAM INDO.KONSER

JAKARTA: Ketua Polis Jakarta, Inspektor Jeneral Karyoto, telah mengambil langkah tegas dengan merombak jawatan 34 pegawai polis susulan skandal pemerasan yang melibatkan pengunjung asing di acara, ‘Djakarta Warehouse Project’ (DWP).

Rombakan itu diumumkan melalui surat pekeliling rasmi pada 26 Disember, membabitkan pegawai berpangkat rendah hingga pertengahan, terutama dari unit antinarkotik.

Meskipun surat pekeliling tersebut tidak secara langsung menyebut siasatan dalaman berhubung skandal tersebut, ia berlaku selepas 18 pegawai ditahan oleh Bahagian Profesional dan Keselamatan Polis Negara.

Pegawai tersebut didakwa memeras pengunjung dari Malaysia dengan jumlah wang tunai sebanyak 2.5 bilion rupiah ($210,026) dirampas sebagai bukti.

Pegawai yang terlibat didakwa memaksa pengunjung konsert menjalani ujian dadah lalu mengancam akan mendakwa mereka dari sudut jenayah jika tidak membayar sejumlah wang, meskipun keputusan ujian menunjukkan negatif.

Ketua Bahagian Profesional dan Keselamatan Polis Negara, Inspektor Jeneral Abdul Karim, berkata pegawai tersebut dijadual berhadapan dengan tribunal etika minggu hadapan.

“Kami komited menyiasat setiap pelanggaran oleh pegawai kami sendiri. Tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka terbukti bersalah,” katanya dalam satu sidang media.

Bagaimanapun, identiti pegawai yang terlibat tidak didedahkan.

Namun, Inspektor Jeneral Abdul Karim mengesahkan mereka terdiri daripada beberapa unit polis daerah dan wilayah di Jakarta.

Skandal itu telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat perniagaan dan hiburan di Indonesia.

Mereka bimbang kejadian itu akan menjejas usaha negara mempromosikan Indonesia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Menteri Pelancongan, Cik Widiyanti Putri Wardhana, melahirkan kekesalan terhadap kejadian tersebut.

“Kementerian memohon maaf atas insiden ini dan menyokong penuh siasatan etika terhadap 18 pegawai terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Cik Widiyanti turut menegaskan bahawa kementerian sedia berkerjasama dengan pihak polis bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

Sebagai sebahagian daripada rombakan, 34 pegawai telah dipindahkan ke tugas pentadbiran sehingga siasatan selesai.

Antara pegawai tersebut termasuk tiga pegawai berpangkat pesuruhjaya – dua daripada unit antinarkotik Polis Daerah Tanjung Priok, Jakarta Utara.

Penganjur DWP, Cik Ismaya Live, turut mengeluarkan kenyataan di Instagram, menggesa orang ramai agar melaporkan sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut.

“Kami bekerjasama untuk mencegah insiden seperti ini daripada berulang,” kata penganjur.

DWP, yang bermula pada 2008, merupakan salah satu festival muzik elektronik terbesar di Asia, dan ia menarik ribuan peminat setiap tahun.

Namun, kejadian itu menjadi satu lagi cabaran melibatkan kepercayaan ramai terhadap institusi polis Indonesia, yang sudah terhakis akibat pelbagai laporan salah laku.

Ia termasuk kes tembakan seorang remaja di Semarang pada November. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg