JAKARTA: Seorang ahli perniagaan Indonesia sedang membantu dengan siasatan di Singapura berhubung dakwaan menggunakan wang kertas palsu berjumlah $10,000 di kasino Resorts World Sentosa (RWS).

Menurut akhbar The Straits Times (ST), sebanyak 34 keping wang kertas palsu $10,000 didakwa telah digunakan oleh ahli perniagaan tersebut, yang hanya dikenali sebagai Steven, dalam tiga lawatannya ke kasino itu pada Jun.

ST difahamkan wang kertas tersebut telah diterima dan ditukar kepada cip kasino sebelum ia dikesan sebagai palsu.

Peguam ahli perniagaan tersebut yang berpangkalan di Jakarta, Encik Yosia Ginting, memberitahu ST pada 17 September bahawa anak guamnya merupakan mangsa penipuan dan tidak tahu bahawa wang kertas tersebut adalah palsu.

Menurutnya, Steven berkata wang kertas dolar Singapura itu diberikan kepadanya sebagai bayaran bagi sebuah rumah kedai yang dijualnya di Tangerang Selatan, dekat Jakarta.

Ketua polis Tangerang Selatan, Superintenden Boy Jumalolo, memberitahu ST bahawa mereka telah mengadakan mesyuarat melalui Zoom pada 14 September bersama wakil Pasukan Polis Singapura (SPF), termasuk atase SPF di Jakarta.

Menurut Superitenden Boy, penyiasat Indonesia telah menerima salinan resit rampasan wang kertas terbabit, yang menerangkan wang tersebut sebagai ‘dipercayai tidak tulen’.

Jurucakap SPF mengesahkan satu laporan telah dibuat dan berkata siasatan sedang dijalankan.

Menurut Encik Yosia, Steven menerima wang kertas itu daripada seseorang yang bernama Anthony, yang diperkenalkan kepadanya oleh seorang teman Steven, iaitu Rangga.

Semasa satu pertemuan di sebuah kafe di Jakarta pada 8 Jun, Anthony memberinya wang kertas $10,000 dan berkata beliau mahu tukar wang kertas itu kerana ia sudah lama.

Encik Yosia berkata Rangga turut meyakinkan Steven dan berkata wang kertas itu sudah diperiksa di sebuah cawangan bank OCBC di Indonesia dan disahkan tulen.

Steven terbang ke Singapura pada keesokan harinya untuk menukar wang tersebut tetapi pengurup menolaknya kerana jumlahnya terlalu besar.

Semasa lawatannya ke RWS, Steven berjaya menukar wang kertas itu kepada cip kasino.

Setelah Steven pulang ke Jakarta, Anthony bertemu dengannya pada 11 Jun dan menyerahkan 33 keping wang kertas $10,000 kepadanya untuk ditukar kepada denominasi yang lebih kecil di Singapura.

Menurut Encik Yosia, Anthony menyatakan bahawa beliau ingin membeli rumah kedai milik Steven pada harga 4.5 bilion rupiah ($322,000).

Anthony berkata beliau akan membayarnya apabila Steven kembali ke Jakarta dengan mata wang Singapura dalam denominasi yang lebih kecil.

Encik Yosia berkata anak guamnya kemudian pergi ke Singapura pada 12 Jun dan mendepositkan 27 keping wang kertas $10,000 palsu tersebut ke dalam akaunnya di kasino tersebut.

Baki enam wang kertas $10,000 ditinggalkan di rumahnya di Indonesia.

Pada 26 Jun, Steven terbang ke Singapura bersama anggota keluarganya dan anak perempuan penjual sebuah rumah di Pamulang, wilayah Banten, dengan niat untuk membayar rumah yang dibelinya itu.

“Petang itu, selepas Steven menyertai permainan baccarat di RWS, beliau ditahan oleh pengawal keselamatan kasino dan polis,” kata Encik Yosia.

Steven diberitahu bahawa nombor siri pada beberapa keping daripada enam wang kertas tersebut sepadan dengan sebahagian daripada 28 keping wang kertas yang telah ditukarnya dalam dua kunjungan awalnya.

Encik Yosia berkata Steven telah disoal polis Singapura kerana didakwa membawa masuk sejumlah besar wang tunai tanpa mengisytiharkannya, mengedarkan mata wang palsu dan menggunakan mata wang palsu.

Mereka yang didapati bersalah menggunakan wang kertas palsu di Singapura boleh dipenjara hingga 20 tahun.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti