Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis tahan militan rancang serang tempat ibadah di Jawa Timur

Aug 2, 2024 | 11:14 AM
suspek militan
Polis berkawal di hadapan sebuah rumah di daerah Junrejo di bandar Batu, Jawa Timur, pada 1 Ogos. Seorang suspek militan ditahan di rumah itu sehari sebelumnya. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO YOUTUBE

BATU (Indonesia): Seorang suspek militan yang ditahan baru-baru ini di bandar Batu, Jawa Timur, telah merancang serangan bom ke atas dua tempat ibadah di bandar berhampiran Malang, kata polis pada 1 Ogos.

Suspek yang dikenali dengan huruf awal, ‘HOK’, ditahan sehari sebelumnya di kompleks perumahan Bunga Tanjung, di daerah Junrejo, lapor Jakarta Globe.

Polis menemui bahan letupan dan peluru bom selepas melakukan pemeriksaan di dalam rumahnya.

“Menurut siasatan, bahan letupan itu akan digunakan untuk meletupkan dua tempat ibadah di Malang,” kata jurucakap Polis Jawa Timur, Ketua Komander Dirmanto, kepada pemberita, lapor The Jakarta Post.

Skuad antipengganasan khas polis Detasmen 88, dikenali sebagai Densus 88, turut menahan dua lagi individu, yang sedang disoal siasat berhubung komplot pengganasan itu, kata Encik Dirmanto.

HOK didakwa bersimpati kepada kumpulan militan, Daulah Islamiyah, yang berkaitan dengan IS.

Jurucakap Polis Negara, Brigedier Jeneral (BG) Trunoyudo Wisnu Andiko, berkata sebelum ini, polis merampas bahan kimia dikenali sebagai ‘triacetone triperoxide’ (TATP), yang diklasifikasikan sebagai  bahan kimia yang digunakan dalam bom ledakan tinggi.

BG Trunoyudo berkata HOK merancang melancarkan serangan bunuh diri dengan menggunakan TATP itu.

Pada Jun, Densus 88 menahan seorang yang disyaki pengganas, dan dikenal pasti dengan huruf awal, ‘AAR’, di Cikampek, Kabupaten Karawang, Jawa Barat.

AAR didakwa bergabung dengan kumpulan penyokong IS.

BG Trunoyudo berkata AAR ditahan kerana terlibat dalam kegiatan pengganasan dan merancang serangan menggunakan bahan letupan.

“Beberapa komponen elektronik dan bahan letupan yang bertujuan untuk digunakan dalam serangan pengganas turut dirampas,” kata BG Trunoyudo.

Menurut rekod polis, AAR ialah pesalah berulang dan pernah disabitkan dengan kesalahan berkaitan pengganasan pada 2011 dan 2018. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg