Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis tahan tiga suspek usir warga emas, rumah diroboh tanpa perintah mahkamah di Surabaya

Jan 2, 2026 | 3:30 PM
Video pengusiran paksa terhadap Cik Elina Widjajanti, 79 tahun, tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan orang ramai.
Video pengusiran paksa terhadap Cik Elina Widjajanti, 79 tahun, tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan orang ramai. - Foto Tangkap Layar INSTAGRAM/CAKJ1

SURABAYA: Polis Indonesia menahan tiga individu susulan pengusiran seorang wanita warga emas berusia 79 tahun, Cik Elina Widjajanti, serta perobohan rumahnya dalam satu pertikaian tanah yang mencetuskan kemarahan orang ramai di Surabaya, Jawa Timur.

Jurucakap Polis Jawa Timur, Pesuruhjaya Kanan Jules Abraham Abast, berkata tiga suspek yang dikenal pasti dengan inisial SAK, MY dan SY ditahan di lokasi berasingan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
“Hasil siasatan awal, termasuk analisis rakaman video yang tular di media sosial, mendapati SAK disyaki menggerakkan sekumpulan individu untuk melaksanakan pengusiran, manakala MY dan SY didakwa menyeret mangsa keluar dari rumah dan memaksanya meninggalkan kediaman itu,” katanya dalam kenyataan pada 31 Disember, seperti dipetik Kompas.id.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek didakwa di bawah Perkara 170 Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan perbuatan keganasan secara berkumpulan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun enam bulan. “Kami akan terus mendalami kes ini dan tidak menolak kemungkinan jumlah suspek akan bertambah,” katanya lagi.

Cik Elina menjelaskan bahawa tanah dan rumah yang menjadi pertikaian itu dibeli oleh kakaknya, Cik Elisa Irawati, pada 2011. Selepas kematian kakaknya pada 2017, harta tersebut diwariskan kepadanya secara sah.

Beliau berkata telah menetap di rumah itu bersama beberapa ahli keluarga selama bertahun-tahun sehinggalah pada 6 Ogos lalu, apabila SAK hadir bersama kira-kira 50 individu yang dipercayai anggota sebuah pertubuhan massa tempatan. “Dia mendakwa telah membeli rumah ini pada 2014 daripada kakak saya dan memaksa kami keluar,” kata Cik Elina.

Menurut dakwaannya, beberapa anggota kumpulan itu bertindak kasar dengan menyeret beliau keluar dari rumah sehingga menyebabkan kecederaan, termasuk lebam dan pendarahan. Pintu masuk rumah kemudian dihalang menggunakan papan kayu.

Dalam tempoh beberapa hari selepas kejadian itu, kumpulan berkenaan didakwa mengeluarkan perabot dan barangan lain dari rumah tersebut, termasuk dokumen penting berkaitan pemilikan harta. Pada 15 Ogos, rumah berkenaan dirobohkan sepenuhnya dan satu papan tanda bertulis “Dijual” dipasang di tapak berkenaan.

Rakaman video pengusiran Cik Elina yang dimuat naik ke media sosial kemudiannya menjadi tular, mencetuskan kemarahan orang ramai dan kebimbangan baharu mengenai peranan pertubuhan massa dalam pertikaian tanah.

Dalam satu video lain yang turut tersebar, SAK mendakwa memiliki dokumen yang membuktikan beliau telah membeli harta tersebut dan berkata telah lama berkomunikasi dengan ahli keluarga yang tinggal di situ mengenai urusan jual beli.

Beliau turut mendakwa telah menawarkan penempatan sementara kepada keluarga berkenaan dan menafikan tuduhan mencuri perabot serta dokumen, dengan mengatakan barangan itu disimpan dan kebanyakannya telah diambil semula oleh keluarga terbabit.

Namun, SAK mengakui bahawa pengusiran dan perobohan itu dilakukan tanpa perintah mahkamah, dengan alasan proses undang-undang akan mengambil masa terlalu lama dan melibatkan kos yang tinggi.

Pengakuan itu mengundang kritikan keras daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin tempatan. Datuk Bandar Surabaya, Encik Eri Cahyadi, menegaskan bahawa tindakan mengusir dan meroboh rumah tanpa keputusan mahkamah adalah salah di sisi undang-undang. “Apabila berlaku pertikaian, ia mesti diselesaikan melalui mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Disember.

Beliau turut memberi amaran keras kepada mana-mana pertubuhan massa yang terlibat dalam perbuatan ugutan, samseng, pemerasan atau tindakan main hakim sendiri di Surabaya. “Kami akan mengesyorkan kepada kerajaan pusat supaya membubarkan mana-mana organisasi yang terbukti melakukan perbuatan samseng di Surabaya,” katanya.

Encik Eri menegaskan bahawa pentadbiran bandar tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk keganasan yang boleh mengancam ketenteraman awam. Beliau berkata sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan baru-baru ini bagi membanteras kegiatan samseng dan tindakan vigilante iaitu kumpulan yang mengambil tindakan menghukum, menguatkuasakan undang-undang atau “menjatuhkan keadilan” sendiri tanpa kuasa sah dan tanpa melalui proses perundangan di bandar itu.

Kes Cik Elina sekali lagi mencetuskan kebimbangan awam bahawa pertubuhan massa sering digunakan sebagai alat untuk menekan atau menakut-nakutkan pihak tertentu dalam pertikaian tanah, terutamanya melibatkan golongan lemah seperti warga emas.

Pemerhati undang-undang menyifatkan kes ini sebagai contoh jelas kegagalan menghormati proses perundangan. “Pertikaian hak milik tidak boleh diselesaikan melalui kekerasan. Ia membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan mencederakan prinsip keadilan,” kata seorang peguam hak asasi manusia di Surabaya.

Sementara siasatan polis diteruskan, orang ramai menuntut agar keadilan ditegakkan dan keselamatan warga, khususnya golongan rentan, diberikan perlindungan sepenuhnya daripada tindakan ganas dan sewenang-wenangnya. - The Jakarta Post

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg